Tunjuk bukti PH guna sentimen kaum ketika berkempen - Salahuddin [ 3m ago ]

Berita SUKAN


Aiman jaring empat gol, bantu Skuad B-18 belasah Kepulauan Mariana Utara 10-0

Tarikh kemaskini: 08/11/2019
Mohd Aiman Afif Md Afizul (Sumber gambar: Fb - FA Kedah)
KUALA LUMPUR, 8 Nov -- Skuad muda negara meneruskan rentak cemerlang pada kempen Kelayakan Kejuaraan Bawah-19 (B-19) tahun AFC 2020, dengan membelasah Kepulauan Mariana Utara 10-0 di Kemboja, hari ini.

Pemain berusia 18 tahun dari Kedah, Mohd Aiman Afif Md Afizul menjadi wira pasukan apabila menjaringkan empat gol buat skuad negara dalam aksi Kumpulan G di Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh.

Turun tanpa penyerang sensasi, Luqman Hakim Shamsudin dalam kesebelasan utama, Malaysia memulakan pemburuan gol seawal minit ketujuh menerusi Aiman, sebelum Hazim Abu Zaid menggandakan jaringan dua minit kemudian, menurut laman sesawang rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Skuad kendalian Brad Maloney kemudian menambah jaringan menerusi Muhammad Aidil Azuan pada minit ke-20 dan Fahmi Daniel pada masa kecederaan babak pertama untuk selesa mendahului 4-0 sebelum rehat.

Hanya seminit selepas bersambung babak kedua, Aiman menambah derita buat negara kepulauan kecil di Lautan Pasifik itu, manakala Fahmi melengkapkan jaringan kedua peribadinya 10 minit kemudian, selain jaringan penalti Muhammad Firdaus Ramli pada minit ke-64.

Malaysia terus memburu gol menerusi Muhammad Azrul Haikal Ramlee pada minit ke-66, sebelum Aiman menamatkan pesta gol pasukan B-18 tahun itu menerusi dua jaringan pada minit ke-74 dan 79.

Daripada 48 pasukan yang bertanding, hanya 16 pasukan, iaitu tuan rumah (Uzbekistan), 11 juara kumpulan dan empat naib juara terbaik (lima jika Uzbekistan juarai Kumpulan F) akan layak beraksi pada pusingan akhir di Uzbekistan pada tahun depan.

Malaysia membuka kempen dengan mengatasi pasukan tuan rumah dengan kemenangan 5-4 pada Sabtu lalu, sebelum membelasah Brunei 11-0 dua hari lepas, manakala Thailand membelasah Brunei 9-0 dan Kepulauan Mariana Utara 21-0.

Dengan Thailand dijangka mudah mengatasi Kemboja pada hari ini, slot automatik sebagai juara kumpulan bakal diketahui apabila Malaysia bertemu Thailand pada Ahad ini.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu