Kembali ke Senarai Berita
Harga Sayur Di Ladang Tidak Naik
August 16, 2005 20:36 PM Printable version of this news

CAMERON HIGHLANDS, 16 Ogos (Bernama) -- Pertubuhan Pekebun Sayur Cameron Highlands hari Selasa meminta kerajaan menyiasat dan bertindak mengawal kenaikan harga sayur-sayuran yang mendadak selepas kenaikan harga petroleum pada 1 Ogos lepas.

Setiausahanya, Chay Ee Mong berkata kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran sejak kebelakangan ini agak "luar biasa" kerana harga borong sayur-sayuran dari ladang adalah stabil dan tidak banyak berubah.

Beliau berkata hanya sayur tertentu seperti cili yang biasanya mengalami kenaikan harga yang tinggi apabila cuaca menjejaskan pengeluaran.

"Bagi sayur lain walaupun selepas kenaikan harga minyak baru-baru ini, harga di ladang sentiasa stabil dan jika ada kenaikan pun tidak banyak iaitu antara 10 sen hingga 20 sen.

"Jadi kami meminta kerajaan menyiasat perkara ini (harga tinggi di pasaran) supaya tidak ada pihak yang mengambil kesempatan dan mengeksploitasi harga kerana sebenarnya petani tidak mendapat manfaat dari kenaikan harga sayur yang mendadak di pasaran pada masa kini,'' katanya.

Beliau berharap Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dapat menyiasat kenaikan tersebut.

Sementara itu, tinjauan di kalangan beberapa pemborong sayur di Kampung Raja di sini hari Selasa mendapati kenaikan harga minyak tidak menjejaskan harga kerana kos pengangkutan tidak meningkat.

Seorang pemborong yang enggan disiarkan namanya berkata harga ladang dan borong adalah stabil malah ada sayur yang lebih murah sejak seminggu lepas.

Beliau berkata kos pengangkutan masih lagi RM100 bagi setiap satu tan sayur dan tidak berubah selepas harga minyak naik.

"Saya sendiri tidak faham bagaimana harga boleh naik begitu tinggi di pasaran," katanya apabila ditunjukkan senarai harga sayur-sayuran di pasaran seperti yang disiarkan oleh beberapa akhbar sejak beberapa hari lepas.

Katanya, hanya harga cili merah yang agak mahal sekarang iaitu antara RM6 dan RM7 sekilo yang disebabkan keadaan jerebu yang menjejaskan hasilnya.

"Harga sayur di sini tidak berubah iaitu antara 50 sen hingga RM2 sahaja bagi setiap kilogram. Jika diambil kira kos pengangkutan, harganya tidak patut boleh naik sehingga RM3 atau RM7.50 sekilo seperti yang dilaporkan," katanya.

Mengikut laporan akhbar, harga sayur-sayuran di pasaran bagi bayam hijau adalah RM3 sekilogram, cili merah RM11, kangkung RM3, kacang buncis RM6.50, kacang bendi RM5, terung RM5, daun bawang RM5.50, kacang panjang RM5.50 dan sawi hijau RM3.

Pemborong yang memasarkan hasil daripada 200 pekebun itu turut menasihati orang ramai supaya membeli sayur-sayuran daripada pasar-pasar raya kerana harganya adalah stabil dan tidak jauh beza dengan harga daripada pemborong seperti beliau.

Seorang jurucakap Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Cameron Highlands turut mengesahkan bahawa harga sayuran di Cameron Highlands adalah stabil dan tidak mengalami kenaikan mendadak.

"Kami pun tidak faham bagaimana harga sayuran di pasaran boleh melambung hingga RM7 sekilo...seperti kacang buncis harga di ladang ialah RM2 tetapi di pasaran ia dijual dengan harga RM6.50 sekilogram," katanya.

Seorang pekebun, Leong Kong Heng, 46, berkata bagi mereka harga yang dijual telah ditetapkan oleh pemborong dan harganya tidak berganjak sejak kenaikan harga minyak.

Beliau bagaimanapun berkata masalah yang dihadapi oleh pekebun ialah sejak harga minyak naik, harga baja pula meningkat dan kos itu terpaksa ditampung oleh pekebun.

Seorang lagi rakannya yang hanya dikenali sebagai Ah Hong pula berkata beliau dan beberapa pekebun yang mengusahakan sayur di kawasan yang jauh dari jalan raya lebih tertekan apabila harga diesel naik.

"Belanja minyak kami lebih banyak daripada pekebun yang dekat dengan jalan...saya lagi banyak keluarkan belanja beli minyak daripada kawan yang dekat dengan jalan," katanya.

-- BERNAMA
 

 

 

 

      Hak Cipta Terpelihara BERNAMA 2014.
Sesuai dlm perisian Internet Explorer 4.0 & ke atas dgn resolusi 800 x 600 piksel