Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sabah mahu turun kadar kemiskinan kepada 1.0 peratus


Tarikh kemaskini: 09/11/2018





KOTA KINABALU, 9 Nov (Bernama) -- Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri berhasrat untuk menurunkan kadar kemiskinan di Sabah kepada 1.0 peratus daripada 2.9 peratus pada tahun 2016 menjelang tahun 2020.

Beliau berkata berkata bilangan penduduk miskin di Sabah pada tahun 2018 ialah seramai 73,754 orang dan menjadi negeri ketiga paling ramai rakyat miskin selepas Kelantan (157,845 orang) dan Sarawak (138,006 orang).

Katanya, Sabah juga masih merupakan negeri yang mempunyai bilangan penduduk miskin tegar paling tinggi di Malaysia ketika ini iaitu 93,119 orang.

"Justeru, kerajaan kini sentiasa komited dan terus berusaha untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2019 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata untuk tahun depan, peruntukan sejumlah RM309.73 juta disediakan untuk pelbagai kementerian termasuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) bagi mengurus program menjurus kepada penjanaan pendapatan dan pengurangan insiden kemiskinan.

Katanya, KPLBS antara lain akan terus menambah baik projek-projek Mini Estet Sejahtera (MESEJ) di seluruh negeri dalam tiga aspek utama iaitu ekonomi, infrastruktur dan modal insan yang bertujuan meningkatkan kualiti hidup serta menambah pendapatan peserta MESEJ.

Di samping itu, katanya, pelbagai aktiviti di bawah Program Peningkatan Ekonomi Setempat dan Pembangunan Modal Insan akan diselaras dan dilaksanakan, khususnya di daerah yang mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi untuk mencapai matlamat pengurangan bilangan rakyat miskin itu.

Bagi tujuan sama, kata Mohd Shafie, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah melalui Koperasi Pembangunan Desa (KPD) akan diperuntukan sebanyak RM19.23 juta bagi meneruskan program meningkatkan pendapatan golongan petani, pekebun kecil, penternak dan nelayan miskin melalui Kontrak Perladangan.

Selain itu, katanya, peruntukan sebanyak RM15.15 juta disediakan untuk subsidi pembelian kira-kira 10 juta liter susu bagi meningkatkan pendapatan penternak lembu tenusu di negeri itu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel