Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Yii gesa KM lakukan pembaharuan dalam kerajaan negeri


Tarikh kemaskini: 09/11/2018




KUCHING, 9 Nov (Bernama) -- Anggota Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii menggesa Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg supaya melaksanakan pembaharuan sewajarnya dalam kerajaaan negeri, termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata langkah itu bertujuan meningkatkan kebertanggungjawaban dan ketelusan agar semua peruntukan digunakan dengan cara yang boleh memberi manfaat secara terus kepada rakyat, bukan untuk memberi kekayaan kepada golongan elit yang menjadi kroni kerajaan negeri semata-mata.

Menurut Yii, antara langkah pembaharuan yang boleh dilakukan Ketua Menteri ialah melantik Ketua Pembangkang atau seorang daripada anggota Pembangkang di DUN Sarawak sebagai pengerusi  Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) yang bertangungjawab meneliti kewangan  kerajaan negeri dan memastikan akaun serta perbelanjaan jabatan kerajaan dibuat secara wajar dan bertanggungjawab.

Beliau berkata langkah itu sejajar dengan pembaharuan yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) peringkat persekutuan di Parlimen dengan melantik Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, anggota Parlimen UMNO/Barisan Nasional ,sebagai  pengerusi baharu Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

“Dengan cara itu, PAC, yang diterajui pembangkang, tidak akan mempunyai percanggahan kepentingan bagi melindungi kerajaan yang mereka wakili, tetapi sebaliknya menunaikan tanggungjawab mereka tanpa rasa gentar dan pilih kasih,” katanya ketika menyampaikan ucapan perbahasan Belanjawan Sarawak 2019 pada Persidangan DUN Sarawak, di sini hari ini.

Katanya, ia termasuk merujuk penjawat awam yang menyalahgunakan kedudukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mencela mereka yang gagal mencegah pembaziran dalam perbelanjaan kerajaan, seklai gus meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap institusi itu.

Selain itu, beliau turut menggesa kerajaan negeri mengamalkan tender terbuka bagi rancangan projek pembangunan agar ia mendapat nilai terbaik daripada peruntukan yang disediakan.

 “Ini juga penting agar kontraktor tidak bertanggungjawab atau kroni tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga projek atau malah membuat tuntutan palsu, walaupun tiada kerja yang mereka lakukan,” katanya.

???????Menurut  beliau, perkara itu penting, lebih-lebih lagi berikutan wujudnya dakwaan berlaku pembaziran dan kenaikan kos bagi projek tertentu yang dilaksanakan di Sarawak oleh kerajaan negeri, termasuk berkaitan kos luar biasa sebanyak RM31 juta untuk membina air pancut berirama di tebing Sungai Sarawak di hadapan bangunan DUN Sarawak, RM40 juta bagi membina Sekolah Kebangsaan Ulu Segan di Bintulu dan RM 48.2 juta bagi membina Sekolah Kebangsaan Meludam di Betong.

Yii berkata hakikat yang wujud di lapangan iaitu ketiadaan infrastruktur atau pembangunan di Sarawak, bukan sahaja kerana kekurangan peruntukan, tetapi juga akibat pembaziran, kelemahan tadbir urus dan rasuah.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     

Semua sekolah di Putrajaya dibuka esok

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel