Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Adun Tanjong Batu gesa kerajaan lancar industri pelancongan di Bintulu


Tarikh kemaskini: 09/11/2018




KUCHING, 9 Nov (Bernama) – Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan negeri Sarawak untuk memulakan industri pelancongan di Bintulu segera kerana sebahagian besar kejayaan Bintulu selama ini hanya bergantung pada kesan lelehan daripada industri petrokimia dan yang berintensifkan tenaga.

Chiew Chiu Sing (DAP-Tanjong Batu) berkata, dua industri tersebut hanya dapat memenuhi keperluan sektor ekonomi yang khusus dan tertentu sahaja, yang kadangkala gagal berfungsi dan tidak memberi kesan seperti yang diharapkan daripadanya.

“Sebagai contoh, di Bintulu sekarang, banyak lot kedai yang baru dibina, kosong, tidak diduduki. Ketika ini, perniagaan perlahan dan jualan menurun. Selama ini mereka bergantung pada industri besar, tetapi kini ia tidak berkembang.

“Ada pelbagai perkara yang boleh dilakukan, tetapi satu perkara yang boleh kita lakukan untuk mendapatkan pendapatan iaitu melalui pelancongan. Kita perlu bermula di satu tahap tetapi apa yang perlu sekarang ini ialah untuk mulakannya sekarang atau ianya mungkin tidak akan berlaku langsung,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Negeri (2019) pada Sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Chiew menggesa kerajaan negeri menarik kehadiran pelancong ke Bintulu bagi melihat cara hidup dan budaya masyarakat Sarawak, alam semula jadi dan sejarah negeri ini, sambil mereka berbelanja untuk penginapan di hotel, makanan dan membeli belah.

Beliau berkata, sebagai permulaan, industri pelancongan di sini boleh bermula dengan apa yang tersedia di Bintulu, denai rimba dan taman burung dan keseluruhan kawasan pantai Tanjung Batu boleh menjadi tarikan hebat apabila dipromosikan dengan baik.

“Kita boleh lakukan aktiviti memancing laut dalam di Beting Liku Selatan, yang terletak hanya 38 batu nautika dari Bintulu. Seorang pengusaha industri pelancongan dari Kuching memberitahu saya ada rakyat korea Selatan menghubunginya baru-baru ini kerana ingin memancing di laut dalam di Bintulu, tetapi mereka menghadapi masalah untuk menyewa bot dan mendapatkan pakej untuk empat hari tiga malam.

“Kemudian, kita boleh manfaatkan Taman Negara Similajau untuk menjadikannya tarikan pelancongan  yang hebat. Apabila rakan-rakan seorang sahabat saya datang dari China dibawa melawat hutan dara di Taman Negara Similajau, mereka sangat kagum melihat saiz pokok dan hutan tebal yang kita ada,” katanya.

Chiew berkata Bintulu juga mempunyai Gua Niah dan jika pelancong ada masa yang mencukupi mereka boleh dibawa mengunjungi gua yang tekenal itu serta rumah panjang tertentu, yang masih boleh menjadi tarikan kepada pelancong luar.

“Marilah kita mulakan sesuatu sekarang dan sediakan pembangunan asas di tempat pelancongan ini terlebih dahulu, kemudian barulah kita majukan lagi kawasan indah kita miliki secara berperingkat.

“Oleh itu, saya menggesa kerajaan negeri supaya menyahut cabaran ini demi kebaikan rakyat di Bintulu dan berganding bahu dengan sektor swasta bagi menjadikan pelancongan satu lagi industri yang berjaya di Bintulu,” kata beliau.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Beban kerajaan akan berkurangan sekiranya dana SRC di Switzerland tidak dibekukan - Saksi

 
     

SRC gagal bayar hutang KWAP - saksi

 
     

110 penuntut kolej universiti disyaki keracunan makanan

 
     

Perak sepatutnya menang besar ke atas Terengganu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel