Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Proses pemilihan PKR Sarawak berjalan lancar


Tarikh kemaskini: 10/11/2018





KUCHING, 10 Nov (Bernama) -- Proses pemilihan PKR Sarawak berjalan lancar pagi ini dengan pengerusi PKR negeri dan ahli Parlimen Selangau menang tanpa bertanding bagi ketua PKR cabang Lawas.

Di Lawas, Baru Bian, yang juga  Menteri Kerja Raya dan Ahli Dewan Undangan Negeri Ba'Kelalan, tiba di pusat pengundian di  Stadium Tertutup Lawas  pada 9.05 pagi dan mengundi menggunakan kaedah e-voting pukul 9.25 pagi.

Di Julau, hujan lebat tidak menghalang ribuan anggota Parti Keadilan Rakyat turun untuk mengundi bagi pemilihan parti untuk cabang Julau di Kompleks Sukan Julau seawal 6 pagi, terutamanya mereka yang datang jauh dari pekan Pakan.

Majoriti daripada pengundi yang hadir memakai baju kuning yang memaparkan wajah calon Ketua Cabang, Larry Sng Wei Shien, yang menentang penyandang Semana Sawang.

Pemilihan bagi cabang Julau menarik tumpuan, ia susulan pertambahan ahli PKR kawasan tersebut yang meningkat mendadak daripada hanya 603 pada 26 Jun kepada 13,000 sehari kemudiannya.

Sementara itu di Dewan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Samarahan dekat sini pemilihan PKR cabang Kota Samarahan yang mempunyai 2,000 pengundi berdaftar, berjalan lancar sebaik pusat mengundi dibuka 9 pagi.

Pusat mengundi ini turut dilawati calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, R. Sivarasa dan Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman.

Bagi cabang Mas Gading yang mempunyai seramai 1,247 pemilih yang layak, proses pemilihan di Kampung Stenggang, Bau dekat sini berjalan lancar pagi ini.

Bagaimanapun, proses pemilihan PKR cabang Petra Jaya berlaku sedikit kekecohan apabila 1,526 anggota PKR yang hadir untuk mengundi diberitahu di saat akhir, proses itu ditangguhkan sehingga esok.

Bercakap kepada pemberita, calon Ketua Cabang Petra Jaya Iswardy Morni mendakwa ‘berlaku sabotaj’ berikutan arahan di saat akhir oleh Jawatankuasa Pemilihan PKR negeri diketuai Baharuddin Moksen, yang mempertahankan jawatannya.

Iswardy dijangka membuat laporan polis berhubung perkara itu tengah hari ini. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Beban kerajaan akan berkurangan sekiranya dana SRC di Switzerland tidak dibekukan - Saksi

 
     

SRC gagal bayar hutang KWAP - saksi

 
     

110 penuntut kolej universiti disyaki keracunan makanan

 
     

Perak sepatutnya menang besar ke atas Terengganu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel