7eK-qdn0tOk Pandang serius masalah kemudahan klinik kesihatan di luar bandar - Jaujan
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pandang serius masalah kemudahan klinik kesihatan di luar bandar - Jaujan


Tarikh kemaskini: 26/11/2018




SEMPORNA, 26 Nov (Bernama) -- Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong memandang serius permasalahan kemudahan di semua Klinik Kesihatan luar bandar di negeri ini termasuk di Pulau Bum Bum yang dianggap tenat.

Beliau, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata kemudahan kesihatan kerajaan di luar bandar perlu dilengkapkan dan tidak tertumpu kepada hospital atau klinik kesihatan di bandar sahaja

"Jangan dilupa luar bandar, kerajaan hari ini mahu tumpu juga kemudahan kesihatan termasuk Pulau Sebatik, Jambongan, Bangi selain di Semporna, kerana kebanyakan di luar bandar ini bukan orang senang," katanya kepada pemberita selepas lawatan rasminya bersama Pengarah Pembangunan Negeri Sabah, Datuk Ruji Ubi ke Klinik Kesihatan Pulau Bum Bum di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Jaujan komited mencari jalan penyelesaian segera bagi memastikan keselesaan pegawai dan pesakit Klinik Kesihatan Pulau Bum Bum terjamin.

"Saya telah bawa perkara ini ke kabinet negeri dan baharu ini kita Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri dan tindakannya adalah lawatan pada hari ini bersama Pengarah Pembangunan Negeri Sabah (Datuk Ruji Ubi).

"Dalam lawatan tadi, bukan setakat boleh sakit mata tengok kemudahan di klinik ini tetapi boleh sakit jiwa terus," katanya.

Klinik Kesihatan jenis tahap 4 yang dibina di tanah keluasan 10 hektar ini menelan belanja RM15.7 juta dan dirasmikan pada tahun 2002.

Tinjauan Bernama mendapati bangunan Klinik Kesihatan Pulau Bum Bum tersergam indah pada luaran namun di dalamnya agak terbiar dan daif ekoran kemudahan seperti keseluruhan penghawa dingin rosak, masalah bekalan air, sistem pendawaian yang teruk serta ketiadaan peralatan perubatan yang lengkap serta wad bersalin yang terbiar.

Pada sesi taklimat bersama Jaujan dan Ruji yang dikendalikan Ketua Pegawai Perubatan di klinik itu Dr T Muralidran berkata, Klinik Kesihatan Pulau Bum Bum memiliki pegawai perubatan mencukupi untuk merawat pesakit ibu bersalin namun tidak dapat melakukannya ekoran pelbagai kekangan dan terpaksa menghantar pesakit ke hospital di tanah besar Semporna.

"Antara kekangan utama dihadapi adalah ketiadaan bekalan air mencukupi, masalah pendawaian elektrik selain kekurangan peralatan perubatan misalnya untuk ibu bersalin," katanya antara lain mencadangkan agar disediakan pam air dan tangki bagi menyelesaikan masalah bekalan air di klinik itu untuk jangka masa pendek.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel