Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Wanita Rungus warisi seni tenunan kain


Tarikh kemaskini: 27/11/2018




KOTA KINABALU, 27 Nov (Bernama) -- Dilahirkan dalam keluarga yang memiliki kemahiran menenun kain telah memberi kelebihan kepada Kasilin Tokintang , 45, mewarisi bakat itu daripada ibunya.

Wanita berketurunan suku kaum Rungus berasal dari Kampung Tinangol, Kota Marudu itu mula mempelajari kemahiran menenun sejak berusia 10 tahun sebelum menjadi pekerjaan tetapnya sehingga kini.

Ketika ditemui Bernama dalam Festival Kraf Borneo 2018 di sini, Kasilin sedang tekun menyiapkan tenunan kain sepanjang dua meter untuk menghasilkan sehelai baju.

“Untuk kain dua meter ini, akan mengambil masa sekurang-kurangnya satu minggu untuk disiapkan. Benang pula hanya menggunakan benang tenunan biasa yang mudah dibeli di kedai tenunan.

“Biasanya tenunan kain ini menggunakan empat jenis warna benang sahaja iaitu merah, putih, kuning dan hitam kerana ia merupakan warna tradisi bagi suku kaun Rungus,” kata anak kedua daripada tujuh beradik itu.

Menurut Kasilin, selepas menamatkan alam persekolahan beliau terlibat dengan pelbagai aktiviti kendalian Sri Pelancongan Sabah Sdn Bhd bagi mempromosikan hasil kraf tangannya termasuk pernah menyertai pameran di Jepun.

Katanya, setiap tempahan bergantung kepada permintaan dan biasanya diterima daripada penari kebudayaan Rungus, Kedai Pelancongan serta individu yang berminat dan dijual pada harga RM400 sehelai.

Beliau menyertai festival itu sejak tahun 2000 mengusahakan tenunan di kediamannya berkata antara peralatan yang digunakan untuk menenun termasuk lapazon; sisir; livuon; ponoro; viviton; lazak; taanzad; atip dan abit.

“Impian saya suatu hari ini saya akan mempunyai sebuah bengkel untuk mengumpulkan hasil tenunan ini,” katanya yang juga mahir menghasilkan aksesori daripada manik dan membuat anyaman bakul.

Tenunan Rungus ditenun secara tradisional oleh suku kaum Rungus yang kebanyakannya mendiami daerah Kudat. Pemilihan warna benang kuning dan putih digunakan sebagai corak dan jalur pada kain tenunan.

Corak kain direka supaya jalur-jalur tersusun mengikut motif yang berlainan antaranya motif berunsurkan binatang, manusia, senjata dan tumbuh-tumbuhan.

Festival Kraf Borneo yang berlangsung sejak 23 November hingga 3 Disember depan disertai seramai 110 komuniti kraf dari Sabah dan Sarawak bertujuan untuk meningkatkan pendapatan komuniti selain memperkasa seni dan budaya Borneo kepada pelancong tempatan serta luar negara.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Beban kerajaan akan berkurangan sekiranya dana SRC di Switzerland tidak dibekukan - Saksi

 
     

SRC gagal bayar hutang KWAP - saksi

 
     

110 penuntut kolej universiti disyaki keracunan makanan

 
     

Perak sepatutnya menang besar ke atas Terengganu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel