Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pahang catat penurunan kes jangkitan HIV


Tarikh kemaskini: 04/12/2018




TEMERLOH, 4 Dis (Bernama) -- Pahang mencatatkan penurunan jumlah penghidap HIV sebanyak 70.5 peratus apabila hanya 165 kes dicatatkan tahun ini berbanding 655 kes yang  dicatatkan pada 2002.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata sehingga kini terdapat seramai 11,339 penghidap  penyakit itu direkodkan di negeri ini sejak ia mula dikesan pada 1989.

Menurutnya, daripada jumlah itu seramai 9,086 pesakit HIV masih hidup dan menjalani rawatan berterusan disediakan kerajaan.

"Daripada jumlah itu 82 peratus adalah lelaki dan 57 peratus adalah kalangan anak muda berusia 20 hingga 39 tahun," katanya pada sidang media  ketika Sambutan Hari AIDS Sedunia di Dewan Tun Razak Temerloh di sini, hari ini.

Beliau berkata Pahang juga mencatatkan rekod terbaik dalam mencegah jangkitan HIV menerusi ibu kepada anak dalam kandungan apabila tiada kes direkodkan dalam tempoh dua tahun.

Dr Sha'ari berkata kejayaan itu dicapai hasil usaha berterusan kementerian memberikan rawatan pencegahan terhadap ibu mengandung yang positif HIV dan rawatan semasa kelahiran anak.

Selain itu, katanya program City Getting To Zero yang dilancarkan pada 2014 di negeri ini bagi mengurang sehingga sifar jumlah jangkitan baharu HIV di bandar besar seperti Kuantan telah membuktikan keberkesanan program tersebut.

"Program ini telah menunjukkan kejayaan dan akan diteruskan di Temerloh dan Rompin iaitu daerah yang mencatatkan jumlah penghidap HIV tertinggi di Pahang selepas Kuantan," katanya.

Dr Sha'ari berkata penyumbang utama kepada HIV di Pahang sejak kebelakangan ini adalah seks bebas berbanding beberapa tahun lalu berpunca daripada berkongsi jarum suntikan dalam kalangan penagih dadah.

Sehubungan itu Dr Sha'ari menggesa mereka yang berisiko supaya dapat menjalani ujian saringan sekali gus dapat mengikuti program rawatan yang disediakan kementerian.

Katanya, mereka yang dikesan menghidap HIV dan menjalani rawatan yang dikhususkan kepada mereka boleh dirawat sehingga 97% pulih malah boleh menjalani kehidupan seperti masyarakat biasa.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Beban kerajaan akan berkurangan sekiranya dana SRC di Switzerland tidak dibekukan - Saksi

 
     

SRC gagal bayar hutang KWAP - saksi

 
     

110 penuntut kolej universiti disyaki keracunan makanan

 
     

Perak sepatutnya menang besar ke atas Terengganu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel