Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lambakan "ikan darat" tanda bermulanya musim tengkujuh di Kelantan


Tarikh kemaskini: 06/12/2018





PASIR MAS, 6 Dis (Bernama) -- Musim tengkujuh paling dinantikan penggemar 'ikan darat' atau ikan sungai berikutan lambakan hasil aktiviti menjala di kawasan dinaiki air selain menjadi sumber pendapatan tambahan bagi segelintir keluarga.

Permintaan tinggi kepada ikan sungai pada musim tengkujuh membolehkan seorang penduduk di Kampung Serungga di sini, meraih pendapatan sehingga RM400 sehari dengan menjual ikan sungai.

Peniaga, Nazita Hamat, 47, yang mengakui sentiasa menganggap musim tengkujuh sebagai rahmat bagi beliau bersama lapan anak dan isteri sejak lapan tahun lalu dengan menjual ikan darat di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang.

"Saya menjalankan aktiviti ini yang turut dibantu oleh dua anak saya, sebagai sumber pendapatan sampingan ketika musim ini bagi menampung perbelanjaan keluarga apatah lagi pendapatan yang diperoleh  agak lumayan,” katanya ketika ditemui Bernama.

Beliau yang juga seorang pengawal keselamatan di sebuah gudang di daerah ini berkata, dia mendapatkan bekalan daripada hampir 70 orang pembekal di sekitar daerah ini yang mencecah 100 hingga 200 kilogram (kg) sehari dengan pelbagai jenis ikan antaranya patin sungai, baung, haruan, lampam, toman galang dan juga belut.

Nazita berkata, setiap spesies dijual dengan harga berbeza bermula RM10kg dan boleh mencecah sehingga RM70 sekilogram.

Yang menariknya, setiap jenis ikan digantung di tepi jalan bagi menarik perhatian pengguna jalan raya untuk berhenti seterusnya membeli hasil tangkapan berkenaan.

Seorang pelanggan tetap yang ditemui, Muhamad Khairi Omar, 40, berkata dia amat gemar ikan sungai  yang dijual pada musim ini kerana rasanya yang lemak dan ada baunya yang tersendiri.

"Memang ada ikan ini dijual di pasar, tapi rasanya sedikit berbeza membuatkan saya tidak melepaskan peluang untuk mendapatkannya secara segar dari peniaga ketika musim tengkujuh ini yang banyak dijual di tepi jalan sahaja," katanya yang sudah tiga hari berturut-turut membeli ikan sungai ini.

Seorang pembeli, Soh Mohd,43, berkata dia amat gemarkan ikan sungai yang memang enak untuk dibuat pelbagai masakan walaupun hanya digoreng.

“Setiap kali berkunjung ke Pasir Mas pada musim ini, saya akan membeli ikan lampam atau haruan kerana amat gemarkan spesies ini yang sesuai digoreng.

Lagipun pada musim ini sahaja selera mahu merasai ikan jenis ini dan sudah pasti amat menyelerakan apabila dimakan ketika panas,” katanya.

Sementara itu, seorang pembekal ikan sungai Amran Awang Kecik, 55, berkata ikan baung dan patin yang dibekalkan kepada peniaga ditangkap menggunakan bubu.

"Setiap hari saya akan ke sungai berdekatan atau takungan air untuk melihat bubu yang dipasang yang kebiasaannya hasil tangkapan berjaya diperolehi sebanyak lima hingga 15kg sehari," katanya.

-- BERNAMA 

 

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel