Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pelancong China paling ramai melawat Malaysia - Bakhtiar 


Tarikh kemaskini: 08/12/2018





BALIK PULAU, 8 Dis (Bernama) -- Malaysia merupakan destinasi paling diminati pelancong China dan merekodkan kehadiran paling tinggi ke negara ini, kata Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Beliau berkata kedatangan pelancong China menunjukkan peningkatan 20 hingga 30 peratus sekali gus menangkis dakwaan yang mengatakan pelancong China semakin berkurangan mengunjungi negara ini.

“Kami mendapati jumlah pelancong China sebenarnya menunjukkan kenaikan yang mendadak, kalau berdasarkan statistik bulan September tahun ini, jumlah pelancong China  yang datang ke Malaysia sudah sama dengan  keseluruhan jumlah pada tahun lepas.

“Jika tahun lalu pelancong China yang  datang adalah sebanyak 2.2 juta, pada  bulan  Oktober tahun ini sudah mencapai 2.5 juta orang dan kami unjurkan mungkin boleh mencapai  sehingga angka 3 juta pelancong,” katanya kepada pemberita pada majlis Fun Ride Kayuhan Boria Sempena Festival Boria 2018 di sini hari ini.

Justeru  dengan peningkatan angka kemasukan itu beliau menegaskan  dakwaan pihak tertentu bahawa kehadiran pelancong China semakin berkurangan  dan mengelak untuk datang ke Malaysia, adalah salah.

“Mereka silap fakta, mereka kata sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih, mereka mengatakan bahawa pelancong China mengelak untuk datang ke Malaysia adalah  tidak benar, cuma semasa golden week tu ada pengurangan sikit tetapi keseluruhannya pelancong China daripada bulan Jun selepas PH ambil alih, hingga Oktober tahun ini meningkat 20 hingga 30 peratus,” katanya.

Bakhtiar berkata selepas China, pelancong kedua paling ramai adalah dari Singapura diikuti Indonesia dan Brunei.

Malahan Bakhtiar yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau itu berkata kedatangan pelancong dari negara Korea juga semakin meningkat dengan kehadiran lebih 500,000 orang pada tahun ini berbanding 484,528 orang pada tahun lepas.

Keseluruhannya sehingga bulan September 2018, kita hanya mengalami pengurangan 0.1 peratus sahaja daripada tahun lepas, ini disebabkan peratus pelancong dari Singapura yang berkurangan,  mungkin sebab masalah kesesakan.

“Tetapi keseluruhan pelancong dari negara lain meningkat. Hujung tahun ini insya-Allah akan naik balik sebab bulan Disember adalah cuti persekolahan. Bukan melihat kepada pelancong asing sahaja, malah pelancong domestik juga semakin bertambah,” katanya.

Beliau turut menjangkakan kemasukan pelancong ke negara ini sebanyak  26.4 juta tahun ini dan melebihi sasaran tahun lepas iaitu  25.9 juta pelancong.  

Beliau berkata sektor pelancongan memainkan peranan penting kerana ia melibatkan 3.4 juta pekerja dalam industri ini jadi negara perlu memastikan  kesinambungan kedatangan pelancong asing ke Malaysia.

Terdahulu berhubung Festival Boria 2018, Bakhtiar berkata boria perlu dimartabatkan semula agar ia tidak hilang ditelan zaman berikutan persembahan boria sangat sinonim dengan masyarakat Pulau Pinang.

“Ini  adalah sebahagian daripada usaha kita untuk memartabatkan semula boria kerana kita tidak mahu boria ini semakin pupus. Dulu kita lihat boria ini hanya aktif kalangan kaum lelaki kini persembahan boria turut disertai golongan perempuan.

“Maka kita harap dengan  pendedahan kepada orang muda, pelajar sekolah rendah dan menengah ini  dapat mengenal mengenai boria dan diharap budaya ini terus kekal,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     

Jerebu: penduduk Melaka hadkan aktiviti luar

 
     

Tetap adakan upacara pengebumian untuk kedua ibu bapa - Anak

 
     

Jerebu boleh sebabkan radang mata, lelah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel