Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bekas pengawal keselamatan hasilkan perabot daripada kayu terbuang


Tarikh kemaskini: 08/12/2018





Oleh Mohd Fazil Ahmad

PADANG TERAP, 8 Dis (Bernama) -- Bermula dengan mengambil upah menebang pokok secara sambilan di sekitar kampungnya, seorang bekas pengawal keselamatan melihat peluang dalam inovasi penghasilan perabot daripada kayu terbuang sekali gus meningkatkan pendapatan keluarganya.

Mohammad Shuib Kassim, 28, berkata kebiasaannya pokok yang ditebang hanya dibuang begitu sahaja atau dibakar dan daripada situ beliau terfikir bagaimana untuk memanfaatkan kayu-kayu terbuang berkenaan.

“Daripada dibakar dan tidak mendatangkan apa-apa hasil, saya terfikir untuk membeli kayu terbuang itu daripada penduduk dan bawa balik untuk dijadikan perabot untuk rumah saya.

“Setelah jiran-jiran datang dan lihat perabot yang saya buat di rumah, mereka menempahnya dan hingga sekarang sudah enam tahun saya buat perabot daripada kayu terbuang untuk tambah pendapatan keluarga,” katanya kepada Bernama di rumahnya di Kampung Baru, Padang Sanai dekat sini, hari ini.

Beliau berkata ??antara perabot dihasilkannya yang mendapat sambutan ialah set katil kayu dan set sofa yang diukir dengan tangan, set meja makan, almari baju dan rak kasut yang dijual antara RM400 hingga RM3,000.

Mohammad Shuib berkata biasanya beliau memilih kayu pokok buku lima, sentang, merawan dan merbau yang dibeli di kedai kayu atas permintaan pelanggan.

Katanya, beliau tidak menghadapi sebarang masalah untuk menjual perabot buatannya itu kerana ia mempunyai rekaan dan corak ukiran yang berubah-ubah dan memenuhi kehendak pelanggan selain kemas, berkilat, cantik dan tahan lama.

Beliau berkata perusahaannya mendapat sokongan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), Jabatan Pertanian, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Kraftangan Malaysia cawangan Kedah.

 “Buat masa ini saya perlukan beberapa lagi peralatan di bengkel dan memohon geran kerajaan untuk mengembangkan perniagaan bagi meluaskan pasaran hingga peringkat antarabangsa,” kata bapa kepada empat anak berusia dua minggu hingga tujuh tahun itu.

Sementara itu, Pegawai Pertanian daerah Padang Terap, Mohamad Yuzaidi Azmi  berkata pihaknya bersedia membantu Mohammad Shuib untuk mendapatkan bantuan bersesuaian dengan perusahaannya.

Beliau berkata Mohamad Shuib juga akan mendapat bengkel baharu menerusi program Pembangunan Kraftani dan Produk Sampingan jabatan itu, bagi meningkatkan kualiti perabot yang dihasilkan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Sampel air di Kuala Koh diambil lagi untuk diuji.

 
     

Tanah runtuh Tanjung Bungah: Kerajaan negeri mahu siasatan terperinci

 
     

Pemuda PH Kelantan mahu ROS batalkan pendaftaran UMNO

 
     

Inkues Adib: Empat peguam dari AGC dilantik wakili KPKT, Bomba

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel