Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Program Kembali Ke Sekolah Food Aid Foundation platform didik pelajar berjimat


Tarikh kemaskini: 08/12/2018




KOTA BHARU, 8 Dis (Bernama) -- Program Kembali Ke Sekolah anjuran badan bukan kerajaan (NGO), Food Aid Foundation, menjadi platform mendidik pelajar berbelanja dengan bijak.

Penyelia program Kamarul Ariffin Abdul Manan berkata program berkenaan bukan sahaja membantu golongan pelajar kurang berkemampuan menyediakan kelengkapan sekolah tetapi juga mampu mendidik mereka menguruskan kewangan ketika berbelanja.

"Kami memberi kebebasan kepada pelajar berumur tujuh hingga 17 tahun membeli kelengkapan persekolahan dengan dibantu sukarelawan kami yang akan memberikan penerangan kepada pelajar barangan mana yang lebih penting.

"Kita mahu selepas ini, apabila ada bantuan daripada mana-mana pihak, peserta boleh menilai keperluan yang sepatutnya dibeli oleh mereka," katanya kepada pemberita semasa program berkenaan di pasaraya Tesco di Lembah Sireh di sini, hari ini.

Kamarul berkata seramai 80 pelajar kurang berkemampuan dari Kota Bharu dan Pasir Mas dipilih untuk menyertai program tersebut yang dianjurkan bersama Tesco.

“Setiap pelajar diberikan baucar RM200 untuk pembelian pakaian sekolah dan sebanyak tiga program Kembali ke Sekolah dianjurkan oleh Food Aid Foundation iaitu di Kelantan, Kedah dan Kuala Lumpur, melibatkan peruntukan sebanyak RM65,000, hasil sumbagan Tesco dan penyumbang lain," katanya.

Sementara itu, seorang bapa, Bahari Che Pa, 50, berkata program ini amat membantu meringankan beban kewangan bagi menyediakan kelengkapan persekolahan tiga anaknya.

Beliau berkata dengan gaji RM800 sebulan sebagai buruh kasar, ia memberi tekanan kepadanya untuk menyediakan kelengkapan persekolahan kerana seorang anak memerlukan antara RM100 hingga RM150.

"Kebiasaannya saya akan bergilir-gilir membeli kelengkapan sekolah anak-anak dan mujur mereka memahami kemampuan kewangan saya.

“Anak saya yang dapat bantuan ini akan memasuki darjah satu tahun depan. Wang yang disediakan untuknya boleh digunakan untuk membeli kelengkapan anak-anak yang lain," katanya.

-- BERNAMA.


 

   

 
 
     
   
 

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     

Semua sekolah di empat daerah di Perak dibuka esok

 
     

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel