Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sistem terbuka, pembaharuan dalam Sidang Belia Perak


Tarikh kemaskini: 08/12/2018





IPOH, 8 Dis (Bernama) – Persidangan Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Dewan Belia Perak Yang Kedua 2018 berlangsung di sini hari ini, memperkenalkan sistem terbuka yang merupakan format baharu menggantikan konsep jawatankuasa melibatkan pembahagian anggota perwakilan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata sistem itu akan memberi peluang kepada perwakilan untuk melontarkan idea, cadangan dan pandangan sendiri.

Beliau berkata jika ia bersesuaian dan mampu memberi nilai tambah, maka pandangan berkenaan akan diperincikan untuk dijadikan sebagai dasar kerajaan negeri.

"Melalui sistem terbuka ini juga diyakini ia mampu mengangkat suara belia agar lebih didengari oleh lapisan masyarakat sama ada di peringkat negeri, negara dan serantau.

"Berbanding dengan konsep terdahulu, pandangan dan idea yang diangkat terhad kepada jawatankuasa itu dan menyukarkan perwakilan untuk menyentuh minat, hati atau impian mereka," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian pembukaan persidangan itu di sini, hari ini.

Selain itu, Lee turut mencadangkan agar satu barisan 'exco cerminan' dapat diwujudkan dalam kalangan 60 anggota perwakilan belia dalam persidangan kali ini bagi memudahkan segala pandangan dan idea bernas dibawa ke peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).

"Exco cerminan ini diharapkan dapat membantu dengan jawapan (pandangan) yang diberikan.  Seterusnya jawapan berkenaan boleh diangkat ke peringkat MMK, kelak," katanya.

Sementara itu, Speaker Dewan Belia Perak, Teoh Yer Chern berkata sebanyak 16 usul akan dibentang dan dibahaskan setiap anggota perwakilan pada persidangan kali ini.

Beliau berkata semua usul berkenaan akan melibatkan isu yang terarah kepada pembangunan dan kemajuan di peringkat negeri.

"Saya berharap semua perwakilan mengambil peluang ini untuk berbahas secara bernas dan baik demi kepentingan negeri khususnya melibatkan belia," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sampel air di Kuala Koh diambil lagi untuk diuji.

 
     

Tanah runtuh Tanjung Bungah: Kerajaan negeri mahu siasatan terperinci

 
     

Pemuda PH Kelantan mahu ROS batalkan pendaftaran UMNO

 
     

Inkues Adib: Empat peguam dari AGC dilantik wakili KPKT, Bomba

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel