Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tinggal budaya lama untuk sertai Bersatu


Tarikh kemaskini: 14/12/2018





ALOR GAJAH, 14 Dis (Bernama) -- Bekas anggota UMNO yang ingin menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan supaya meninggalkan budaya lama mereka ketika berada dalam parti berkenaan terutama sikap mementingkan kedudukan diri sendiri dan tidak mengutamakan rakyat.

Anggota Majlis Pemimpin Tertinggi Bersatu Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata golongan berkenaan perlu memahami perjuangan dan cara tadbir urus Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang amat berbeza daripada pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Melaka itu berkata pemimpin lama di bawah kerajaan terdahulu sanggup mengubah fakta melibatkan beberapa isu semata-mata untuk memberitahu rakyat bahawa tiada isu serius yang berlaku di negara ini dan pentadbiran mereka tidak mempunyai masalah.

"Kita di peringkat pimpinan Bersatu tidak amalkan dasar tutup pintu kepada mereka khususnya anggota UMNO yang ingin menyertai parti. Pada saya mereka ini baru menyedari yang dahulunya mereka mungkin terleka dan hari ini mereka faham apakah itu kepimpinan yang telus.

"Kumpulan pentadbir kerajaan baharu yang dipimpin PH pada hari ini mengamalkan dasar 'lead by example' dan saya yakin ia menjadi tarikan untuk mereka menyertai kita terutama Bersatu...kita tidak sekat asalkan mereka tinggalkan budaya lama," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sentuhan Kasih Bantuan Bencana Banjir Petronas di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan sebanyak 540 keluarga di sekitar Alor Gajah dan Masjid Tanah yang terjejas akibat bencana banjir baharu-baharu ini menerima sumbangan RM250 dalam bentuk tunai yang dikreditkan ke dalam MyKad mereka untuk membeli barangan keperluan asas dan kelengkapan persekolahan anak mereka dan ia turut dihadiri Naib Presiden Perolehan Kumpulan Petronas, Samsudin Miskon.

Mengulas lanjut, Menteri Pembangunan Usahawan itu berkata PH menerusi Bersatu komited untuk membuat pelbagai perubahan untuk negara dan rakyat menerusi pentadbiran yang lebih telus, meningkatkan ekonomi negara dan mensejahterakan rakyat.

"Kita banyak melihat isu berbangkit seperti 1MDB dan Tabung Haji yang dilaporkan media hari ini..rakyat hendak lihat cara Kerajaan PH mentadbir dengan telus, memberitahu mereka macam mana kita mentadbir. Kita ada satu penggal untuk membuktikan adakah kita boleh mengurus tadbir negara lebih baik," kata Anggota Parlimen Alor Gajah itu.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     

Jerebu: penduduk Melaka hadkan aktiviti luar

 
     

Tetap adakan upacara pengebumian untuk kedua ibu bapa - Anak

 
     

Jerebu boleh sebabkan radang mata, lelah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel