Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lembaga Pengurusan Wakaf Negeri Sabah mampu kurang kebergantungan bantuan kerajaan


Tarikh kemaskini: 14/12/2018




KOTA KINABALU, 14 Dis (Bernama) -- Penubuhan Lembaga Pengurusan Wakaf Negeri Sabah berkuat kuasa 1 Jan ini, mampu mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan untuk membina rumah ibadat di negeri ini.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Moktar berkata penubuhan agensi itu akan memastikan tanah-tanah wakaf di negeri ini lebih terurus dan masyarakat Islam lebih memahami sistem muamalah.

“Kita yakin dengan adanya sistem pengurusan ini, sebarang pembinaan masjid mahupun surau tidak lagi mengharapkan bantuan kerajaan dan semuanya dibina melalui sistem wakaf yang disumbangkan oleh masyarakat Islam itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan kewangan Rumah Anak Yatim dan Pusat Tahfiz Al-Quran di Wisma Muis, di sini hari ini.

Aidi berkata anggota lembaga pengarah yang akan dilantik terdiri daripada golongan profesional yang mampu menerajui lembaga pengurusan berkenaan.

Beliau berkata sebelum ini tanah-tanah wakaf di negeri ini selama hampir 50 tahun tidak mempunyai sistem pengurusan yang teratur.

“Kita sepatutnya mengembangkan sistem muamalah wakaf ini dengan mempelbagaikan kaedah seperti saham wakaf malah pihak yang mahu membina sekolah agama boleh memohon permit daripada lembaga pengurusan wakaf ini,” katanya.

Terdahulu, Aidi menyampaikan sumbangan berjumlah RM95,0000 daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) kepada 19 Rumah Anak Yatim termasuk sembilan Pusat Tahfiz Al-Quran sekitar Kota Kinabalu.

Sementara itu, Pengurus Besar PBNS Ratnawati Osman berkata sumbangan dan bantuan itu merupakan hasil kutipan fidyah, sedekah amal jariah dan wang tidak patuh syariah yang diterima daripada umat Islam.

Beliau berkata sumbangan itu merupakan usaha berterusan PBNS dalam menyalurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

“Bagi pihak PBNS amat berharap semoga dengan adanya sumbangan kecil ini dapat membantu meringankan kos perbelanjaan operasi harian para penerima,” katanya.

--BERNAMA

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel