Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Cadangan naikkan elaun kritikal Bomba dikaji


Tarikh kemaskini: 14/12/2018





JOHOR BAHRU, 14 Dis (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mencadangkan kenaikan elaun kritikal untuk anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) supaya lebih setimpal dengan cabaran dan risiko dihadapi anggota dalam menjalankan tugas. 

Menterinya Zuraida Kamarudin berkata pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam berkenaan kaedah pemberian elaun kritikal untuk anggota JBPM.

“Sudah tiba masanya untuk kita pertimbang naikkan (elaun kritikal) kerana kerja bomba ini berbahaya malah kerja-kerja bukan dalam skop tugas pun mereka buat,” katanya kepada pemberita selepas melawat  Kompleks Kuarters Bomba Johor, di Kempas, hari ini.

Pada Julai tahun ini, Zuraida berkata KPKT memperuntukkan sebanyak RM35 juta bagi pemberian elaun kritikal kepada anggota JBPM, yang memberi manfaat kepada kira-kira 13,000 anggota JBPM di seluruh negara.

Tambah Zuraida, setiap anggota bomba dijangka menerima sebanyak RM250 seorang bagi elaun kritikal pada setiap bulan.

Terdahulu, dalam ucapannya, Zuraida memuji pasukan beruniform itu yang bertarung nyawa dalam menjalankan tugas demi keselamatan masyarakat. 

Oktober lalu, enam anggota bomba dan penyelamat meninggal dunia sewaktu operasi menyelamatkan  mangsa lemas di lombong Taman Putra Perdana, di Selangor manakala November lepas pula, seorang anggota Bomba dan Penyelamat cedera parah setelah diserang sekumpulan perusuh dalam satu rusuhan di sekitar Kuil Maha Mariamman, di Selangor. 

Sementara itu, Zuraida berkata bomba masih kekurangan sekitar 3,000 anggota di seluruh negara.

Justeru, KPKT mempelawa masyarakat, terutamanya golongan muda untuk menyertai pasukan itu sekali gus dapat menabur bakti kepada masyarakat.  

“Kita minta untuk rakyat terutamanya orang muda, saya galakkan sertai bomba. Ini kerana ia satu kerjaya yang amat murni dan dapat membina disiplin diri,” katanya.

Zuraida berkata, terdapat lebih 100 kekosongan untuk diisi dalam JBPM Johor misalnya.

Selain itu, JBPM kini mempunyai sekitar 14,000 anggota termasuk sukarelawan. 

Mengulas mengenai persediaan  menghadapi banjir, beliau berkata cuti anggota JBPM telah dibekukan.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Beban kerajaan akan berkurangan sekiranya dana SRC di Switzerland tidak dibekukan - Saksi

 
     

SRC gagal bayar hutang KWAP - saksi

 
     

110 penuntut kolej universiti disyaki keracunan makanan

 
     

Perak sepatutnya menang besar ke atas Terengganu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel