Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Anggota Parlimen Mersing digesa letak jawatan


Tarikh kemaskini: 16/12/2018




JOHOR BAHRU, 16 Dis (Bernama) -- Umno Bahagian Johor Bahru kesal dengan tindakan Anggota Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang keluar parti baru-baru ini dengan menyifatkan ia tidak menggambarkan harga diri dan maruah Bangsa Johor yang sebenar.

Ketua Bahagiannya Tan Sri Shahrir Abd Samad berkata sebagai orang yang sudah lama dalam Umno, Abdul Latiff sepatutnya tahu bahawa parti itu lahir di Johor, oleh itu setiap keputusan harus dibuat berdasarkan ‘maruah’ berkenaan.

“Dengan meninggalkan Umno, ia tidak menjanjikan pembaharuan yang lebih baik kepada pengundi-pengundi Abdul Latiff di Mersing yang rata-ratanya ialah peneroka Felda, petani, nelayan dan peniaga kecil-kecilan.

“Undi mereka diibaratkan sebagai doa kerana mewakili hasrat di kawasan berkenaan. Justeru mengambil kira faktor ini, kami berpendapat adalah lebih bermaruah sekiranya Abdul Latiff meletakkan jawatan sebagai Anggota Parlimen supaya satu pilihan raya kecil dapat diadakan bagi memilih semula wakil rakyat baharu,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Shahrir berkata di bawah wakil rakyat yang baharu, beliau berharap hasrat rakyat di kawasan itu untuk memiliki kehidupan lebih baik dapat didengari kerana setakat ini, mereka belum mendapat pembelaan dan bantuan yang sewajarnya daripada kerajaan.

“Apatah lagi ketika pembangunan Koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dahulu untuk memajukan kawasan Mersing kini, berada dalam keadaan terumbang-ambing, sama ada hendak diteruskan atau tidak oleh kerajaan. Jadi adalah tidak jelas apakah pembelaan yang diterima oleh penduduk,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta anggota Umno agar terus kembali kepada asas perjuangan parti itu dan tidak mudah menyerah ke atas apa jua situasi.

"Takkanlah baru tujuh bulan jadi pembangkang sudah tidak tahan. Kita ini hendak bertanding jadi calon untuk duduk dalam kerajaan yang memerintah sahajakah? Kalau begitu, apa guna kita berpolitik, kalau nak bertanding hanya untuk menang dan hendak memerintah.,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel