Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KPI persatuan sukan Melaka bukan berorientasi kilauan pingat semata-mata


Tarikh kemaskini: 17/12/2018





MELAKA, 17 Dis (Bernama) -- Petunjuk prestasi utama (KPI) bagi persatuan sukan di Melaka bukan hanya berorientasikan hasil atau pencapaian seperti pungutan pingat emas atau kejuaraan sesebuah kejohanan semata-mata.

Exco Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Kerk Chee Yee berkata sebaliknya ia turut merangkumi fokus kepada pembangunan sukan yang menyeluruh di setiap peringkat hingga akar umbi dan proses orientasi serta perkembangan sesebuah persatuan sukan.

Katanya pengukuran KPI persatuan sukan antara lain bertujuan mengukur kecekapan persatuan, prestasi atlet dan organisasi, melalui sasaran kerja tahunan yang seterusnya dapat  meningkatkan kualiti penyampaian persatuan. 

“Ia (KPI) termasuk bagaimana cara persatuan-persatuan tertentu membangunkan pasukan di bawah naungannya, cara ia melatih atlet-atlet sejak dari mula dan latihan yang diberikan selain bagaimana mereka menggalakkan orang ramai mengetahui sukan dan terlibat dengannya.

“Aspek ini menjadi satu KPI  baru kepada persatuan sukan supaya penglibatan rakyat dalam sukan iaitu dari kelab-kelab, sekolah atau institusi pengajian ini dapat dilakukan secara menyeluruh bagi mengalakkan pembangunan sukan negeri,” katanya kepada Bernama.

Kerk berkata pihaknya berharap dengan pendekatan menerusi proses orientasi dan perkembangan itu akan melahirkan lebih ramai bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan untuk mewakili negeri, bukan hanya di peringkat kebangsaan malah mampu bersaing di persada antarabangsa.

Beliau berkata bagi menyokong usaha berkenaan komitmen daripada semua pihak amat diperlukan dan beliau juga menggalakkan semua persatuan sukan dapat berkolaborasi dengan pihak luar seperti syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu-individu.

“Walaupun kerajaan negeri sentiasa sedaya upaya membantu semua persatuan sukan termasuk dari segi kewangan, namun kita tidak boleh memberikan peruntukkan 100 peratus seperti yang diminta mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel