Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiga individu ditahan, dadah lebih 10kg dirampas di Johor Bahru


Tarikh kemaskini: 17/12/2018





JOHOR BAHRU, 17 Dis (Bernama) -- Polis berjaya menahan tiga individu serta merampas dadah bernilai kira-kira RM601,650 dalam dua operasi berasingan di Johor Bahru minggu lepas.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamaruddin Md Din berkata dalam operasi pertama kira-kira pukul 7.30 malam di Taman Perling di sini Selasa lepas, polis menahan dua lelaki selepas menemui 9,970 biji pil ecstasy dan 5.12 kg dadah disyaki syabu yang dianggarkan bernilai RM505,650 dalam kenderaan mereka.

Beliau berkata seorang daripada lelaki itu adalah penganggur warga Indonesia yang berumur 58 tahun, manakala seorang lagi adalah warga tempatan berumur 39 tahun yang mempunyai empat rekod jenayah lampau, dan menurutnya kedua-dua mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Setakat ini, kereta jenis Honda Accord yang digunakan suspek disita sementara kedua-duanya pula direman selama tujuh hari bermula 12 Disember hingga esok,” katanya dalam satu persidangan media di sini, hari ini.

Sementara itu dalam operasi kedua di sebuah kawasan di Ulu Tiram pada pukul 12 tengahari Khamis lepas, Mohd Kamaruddin berkata polis menahan seorang pekerja salun wanita berusia 27 tahun dan merampas 5.45 kg dadah disyaki jenis heroin yang dianggarkan bernilai RM96,000 daripadanya, selain turut menyita sebuah kereta jenis Perodua.

Beliau berkata wanita yang memiliki lima rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan samun itu direman mulai 14 sehingga 20 Dis.

Katanya polis akan melakukan siasatan terperinci mengenai sumber bekalan dan pasaran dadah berkenaan memandangkan keseluruhan dadah yang dirampas dalam kedua-dua operasi itu dipercayai boleh menampung kira-kira 33,000 orang penagih. 

Menurutnya sejak awal tahun hingga 15 Dis lepas, 15,388 individu ditangkap di atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah, di samping rampasan 707.63 kg dadah bernilai RM25.61 juta, dan sitaan harta berjumlah RM15.05 juta.

-- BERNAMA 

 

   

 
 
     
   
 

Polis sahkan 10 nelayan Bajau Laut diculik di perairan Felda Sahabat 9

 
     

Agong perkenan terima Azmin menghadap di Istana Negara

 
     

Kelantan mohon stesen ECRL Tok Bali dijadikan stesen penumpang, kargo

 
     

Video Lucah: Beri ruang dan waktu untuk polis siasat -- KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel