Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

 40 peratus sisa buangan di Melaka adalah makanan - SWCorp


Tarikh kemaskini: 18/12/2018




MELAKA, 18 Dis (Bernama) -- Kira-kira 40 peratus daripada 1,000 hingga 1,100 tan sisa buangan sehari yang dibuang di Tapak Pelupusan Sanitari Sungai Udang di sini adalah makanan, kata Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka, Sharudin Hamid.

Beliau berkata jumlah itu agak tinggi dan ia perlu dikurangkan bagi memastikan jangka hayat tapak pelupusan tersebut dapat dipanjangkan selain menggalakkan rakyat di negeri ini mengelak amalan pembaziran melibatkan makanan.

Katanya justeru, satu daripada program yang dilaksanakan untuk mengurangkan pembuangan sisa makanan ialah menerusi Kempen 'Value Food No Waste and Let's 3R' yang dimulakan dengan kerjasama King Green Hotel di sini sebagai projek perintis.

"Kempen 'Value Food No Waste and Let's 3R' bertujuan menggalakkan pelanggan menghargai makanan yang disediakan sepanjang menginap di hotel dengan mengambil makanan mengikut keperluan agar ia tidak dibazirkan begitu sahaja sekali gus membantu pengurusan sisa buangan tersebut.

"Kempen ini dimulakan dengan industri perhotelan kerana sebagai sebuah negeri pelancongan, Melaka mempunyai lebih 200 hotel pelbagai kategori yang menerima kunjungan ramai pelancong tempatan dan luar negara sebelum ia diperluaskan kepada pengusaha kedai makanan yang lain," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar kempen itu di sini, hari ini.

Sidang akhbar berkenaan turut dihadiri Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Melaka, Datuk Tey Kok Kiew dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan SWCorp, Mohammad Diah.

Sharudin berkata menerusi kempen itu, makanan yang tidak disentuh pelanggan akan dibungkus oleh pihak hotel dengan bantuan sukarelawan untuk dihantar kepada golongan yang memerlukan seperti rumah anak yatim, orang tua, kebajikan dan golongan memerlukan seperti miskin dan asnaf dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri.

Beliau berkata selain sisa makanan, kempen itu juga turut melibatkan aktiviti kitar semula botol minuman yang disediakan di bilik hotel untuk pengunjung dan pengumpulan minyak masak terpakai agar ia dapat diuruskan dengan baik.

"Kita telah melaksanakan kempen ini di King Green Hotel sejak empat bulan lepas dan sehingga kini, sebanyak 882 kilogram (kg) barangan kitar semula berjaya dikumpulkan dengan hasil jualan sebanyak RM290.10 selain 190kg minyak masak terpakai dikumpul dengan hasil jualan sebanyak RM255," katanya.

Beliau berkata kempen berkenaan jelas membuktikan ia turut memberi kelebihan dan keuntungan kepada pihak hotel yang menyertainya selain membantu pengurusan bahan kitar semula.

Sementara itu, Tey berkata kerajaan negeri Melaka menggalakkan pengusaha kedai makanan termasuk industri perhotelan di negeri ini menyertai kempen berkenaan secara sukarela kerana ia dilihat memberi impak positif kepada negeri selaras dengan slogan Melaka iaitu 'Pintar, Hijau, Bersih'.

Beliau berkata kempen tersebut juga akan memupuk sikap positif dalam kalangan rakyat negeri ini  termasuk pelancong kerana menjaga alam sekitar dan kebersihan bukan hanya terletak pada pihak berkuasa tempatan atau SWCorp sebaliknya ia merupakan tanggungjawab bersama.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Sampel air di Kuala Koh diambil lagi untuk diuji.

 
     

Tanah runtuh Tanjung Bungah: Kerajaan negeri mahu siasatan terperinci

 
     

Pemuda PH Kelantan mahu ROS batalkan pendaftaran UMNO

 
     

Inkues Adib: Empat peguam dari AGC dilantik wakili KPKT, Bomba

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel