Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

FAMA wujudkan 29 lagi GBBS di seluruh negara - Ishak


Tarikh kemaskini: 04/01/2019





TAWAU, 4 Jan (bernama) --  Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merancang untuk menambah 29 lagi Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) di seluruh negara pada tahun ini, kata Pengerusinya, Ishak Ismail.

Menurut beliau sehingga November tahun lepas terdapat 339 GBBS di seluruh negara dengan nilai jualan untuk tahun lepas sehingga November mencecah RM110 juta.

“Kami akan wujudkan 29 lagi GBBS antaranya dua medan GBBS di Melaka, tiga di Negeri Sembilan dan tiga GBBS diangkat sebagai Agro Khas Pelancongan di Perak, Selangor dan Kuala Lumpur serta Tawau,” katanya ketika ditemui pemberita pada lawatan kerja ke GBBS Sabindo di sini, malam tadi.

Beliau berkata FAMA juga akan membimbing 10 individu pemilik GBBS dan menaik taraf 14 GBBS sedia ada dengan peruntukan sebanyak RM960,000.

Katanya ia bertujuan ke arah mewujudkan suasana yang lebih menarik di gerai GBBS dan mampu mengangkat nilai pendapatan usahawan terlibat serta memudahkan orang awam mendapatkan buah-buahan segar.

Ishak berkata GBBS diperkenal bagi mengatasi masalah lambakan buah-buahan terutamanya pada musim kemuncak selain sebagai tarikan kepada pelancong yang datang ke negara ini.

Katanya buah-buahan yang dijual di GBBS telah melalui proses penggredan yang mempunyai kualiti terbaik.

Dalam pada itu, beliau berkata beberapa lokasi telah dikenal pasti bagi mewujudkan tapak GBBS di negeri ini antaranya di Kota Kinabalu dan Tuaran.

Menurutnya bagi GBBS Sabindo Tawau yang menempatkan 10 usahawan, telah merekodkan pencapaian yang memberangsangkan dengan jumlah hasil pendapatan RM2 juta.

"Saya lihat konsep yang dibuat di sini sangat menarik dan ini akan dijadikan salah satu contoh GBBS di negara ini melalui cara susunan, kebersihan dan label buah yang tersusun," katanya.

Pada lawatan sama, Ishak turut berkesempatan meninjau Medan Trak Makanan Tawau di bawah Program FAMA di Jalan Bunga Tanjung.

Beliau berkata terdapat 600 pengusaha Trak Makanan di bawah Program FAMA di seluruh negara dan menyasarkan 700 usahawan Trak Makanan dapat dicapai pada tahun ini.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel