Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Rakyat Sarawak mahukan kemakmuran, kesejahteraan pada 2019


Tarikh kemaskini: 04/01/2019




KUCHING, 4 Jan (Bernama) -- Rakyat Sarawak pada umumnya mahu melihat peningkatan status ekonomi mereka pada 2019.

Mereka yang ditemu bual oleh Bernama menyatakan demikian sebagai harapan mereka untuk tahun baharu.

Antara mereka, Sim Choong Soo, 42, seorang broker hartanah, berkata beliau amat berharap kerajaan negeri yang ditadbir Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan berusaha lebih lagi untuk memperbaiki kehidupan penduduk di luar bandar, seperti menyediakan bekalan elektrik dan air.

"Jalan-jalan di kawasan luar bandar juga perlu diperbaiki untuk membolehkan penduduk kampung dihubungkan ke bandar-bandar dan kawasan bandar. Ini akan meningkatkan kualiti hidup mereka.

"Apa yang saya lihat, penduduk di pedalaman mempunyai potensi dalam pendidikan, tetapi mereka kurang kemudahan seperti jalan yang menghubungkan kampung mereka dengan bandar," katanya kepada Bernama hari ini.

Siti Azureen Zulkifli, 29, seorang kontraktor pula berkata, harapannya untuk tahun baharu ini ialah supaya pihak berkuasa memberi lebih tumpuan kepada perancangan bandar di sini terutama kesesakan yang dihadapi rakyat setiap hari seperti kekurangan tempat letak kereta di Hospital Umum Sarawak (SGH).

"Sangat tertekan, terutamanya semasa waktu puncak apabila semua orang bergegas untuk keluar dari jalan hospital. Saya amat berharap perkara ini dapat diselesaikan oleh pihak berkuasa tidak lama lagi," katanya.

Beliau juga berkata Kementerian Kesihatan di sini perlu mengasingkan beberapa rawatan perubatan ke Pusat Jantung di Kota Samarahan dan ini akan mengurangkan kesesakan lalu lintas di SGH dan di hospital itu sendiri.

Pada masa ini, SGH sedang menjalani projek pembangunan semula pada kos RM351 juta, yang dijangka siap menjelang 2021.

Sementara itu, pelajar tahun dua Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sarawak, Angeline Cath, 18, berkata beliau berharap kerajaan negeri dan persekutuan boleh bekerjasama dalam penggunaan teknologi yang lebih canggih di sekolah-sekolah dan kolej seperti komputer riba dan rangkaian untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran .

"Memandangkan kita ke arah Revolusi Perindustrian 4.0, saya sangat berharap Kementerian Pendidikan dapat bekerjasama untuk memajukan pendidikan," katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     

Semua sekolah di Putrajaya dibuka esok

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel