Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan negeri diminta pertimbang perumahan pesara polis Sabah


Tarikh kemaskini: 04/01/2019




KOTA KINABALU, 4 Jan (Bernama) -- Persatuan Bekas Polis Malaysia meminta kerajaan negeri Sabah mempertimbang cadangan mewujudkan perumahan khusus bagi pesara polis di negeri ini bagi membantu golongan berkenaan memiliki kediaman sendiri.

Cadangan itu merupakan antara 11 resolusi dikemukakan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam kunjungan hormat persatuan berkenaan yang berlangsung selama hampir satu jam di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah, di sini hari ini.

Presidennya Hussin Awang Ngah berkata resolusi itu dicapai secara kolektif dalam mesyuarat jawatankuasa persatuan tersebut pada 10 Dis lepas.

"Perumahan untuk pesara polis adalah sebagai menghargai jasa serta sumbangan mereka dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara.??? Selain itu, masih ramai lagi pesara dan balu polis yang tidak mempunyai rumah sendiri.

"Justeru, kita perlu mengambil perhatian serius perkara ini dan memohon ia dipertimbangkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas kunjungan hormat itu. Turut hadir Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia cawangan Sabah Awang Kassim Awang Gemok.

Hussin berkata selain resolusi mewujudkan perumahan pesara polis, pihaknya turut memohon geran tahunan bagi memudahkan persatuan tersebut menjalankan aktiviti di setiap cawangannya di Sabah.

Beliau berkata secara keseluruhannya, ketua menteri memberi respon baik dan bersetuju dengan kesemua resolusi dikemukakan, namun, akan mempertimbang resolusi tersebut berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Hussin turut melahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada ketua menteri yang telah mengumumkan peruntukan awal sebanyak RM100,000 kepada persatuan itu di Sabah bagi kegunaan pengurusan persatuan termasuk menjalankan program kebajikan.

Seramai 140,000 bekas polis menjadi anggota persatuan itu di seluruh Malaysia dan hampir 6,000 daripadanya adalah pesara polis di Sabah.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Sampel air di Kuala Koh diambil lagi untuk diuji.

 
     

Tanah runtuh Tanjung Bungah: Kerajaan negeri mahu siasatan terperinci

 
     

Pemuda PH Kelantan mahu ROS batalkan pendaftaran UMNO

 
     

Inkues Adib: Empat peguam dari AGC dilantik wakili KPKT, Bomba

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel