Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis Sandakan kesan tahanan lari dari Mahkamah Sandakan


Tarikh kemaskini: 11/01/2019





SANDAKAN, 10 Jan (Bernama) -- Seorang tahanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran melarikan diri ketika dibawa dari Mahkamah Sandakan ke Penjara Sibuga Sandakan di sini petang tadi.

Menurut kenyataan polis di sini, Jusman Amir, 29, warga Indonesia, berjaya membuka gari berantai yang dipasang di tangannya semasa proses memuatkan tahanan terbabit ke dalam trak polis untuk ke penjara berkenaan.

Kejadian yang berlaku kira-kira 3.40 petang itu disahkan oleh Timbalan Ketua Polis  Sandakan Supt Abdul Fuad Abdul Malek.

Suspek yang dipercayai melarikan diri ke arah kawasan semak di Taman Khong Lok, Batu 7, di sini, dibawa dari IPD Beluran ke Mahkamah Majistret Sandakan untuk dituduh di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengambil dadah.

“Semasa melarikan diri, suspek yang berbadan kurus, berkulit gelap dan mempunyai misai serta janggut pendek itu memakai sehelai baju hitam bertulis ‘Sex Pistol’ dan seluar pendek berwarna putih.

“Suspek juga mempunyai tatu di bahagian lengan tangan kiri,” menurut kenyataan itu.

Operasi untuk mengesan dan menangkap suspek dijalankan serta-merta oleh polis dari IPD Sandakan dengan kekuatan dari Jabatan Siasatan Jenayah dan Tugas Am dengan bantuan unit anjing pengesan (K9).

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan suspek diminta segera menghubungi polis di talian 089-212222.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel