Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Mohd Shafie gesa bomba Sabah siap sedia hadapi musim panas


Tarikh kemaskini: 12/01/2019





KOTA KINABALU, 12 Jan (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kebarangkalian berlaku kebakaran pada musim panas dan kurang hujan yang melanda negeri ketika ini.

Beliau berkata kesiapsiagaan itu termasuk bekerjasama dengan Jabatan Air Sabah dan majlis daerah bagi memastikan bekalan air di sesuatu kawasan mencukupi dan tekanan air dalam keadaan baik.

Menurutnya, langkah tersebut penting bagi membolehkan operasi memadam api di lokasi kebakaran dapat dilakukan dengan pantas tanpa timbul sebarang masalah kekurangan air atau tekanan air rendah.

"Agensi (bomba) kena peka supaya persediaan cukup kerana dalam keadaan cuaca tidak menentu dan musim panas ini kesiapsiagaan itu adalah perlu. Kadang-kadang di sesebuah kawasan air tidak cukup tekanan, apabila dalam keadaan itu, bomba perlu kenal pasti pam air mereka mencukupi atau tidak.

"Jika air tidak mencukupi, mereka perlu menghubungi jabatan air terdekat untuk mendapatkan bantuan," katanya ketika ditemui pemberita selepas meluangkan masa melawat lokasi kejadian kebakaran Kampung Pasir Putih, Putatan dan menziarahi mangsa di Dewan Serbaguna Putatan, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Uda Sulai yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Petagas.

Mohd Shafie berkata satu sistem efisien perlu diwujudkan bagi mencegah kebakaran daripada cepat merebak terutama di kawasan kurang bekalan air atau tekanan air rendah termasuk menyediakan lori tangki serta pam menyedut air laut untuk operasi memadam kebakaran di kawasan kampung atas air.

JBPM Sabah juga perlu memberi penerangan dan pendidikan kepada penduduk setempat mengenai keselamatan pendawaian selain ciri-ciri keselamatan diluluskan bomba dalam pembinaan rumah, katanya.

Mengenai kebajikan mangsa kebakaran, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri akan merancang dengan teliti pendekatan terbaik membantu mangsa terutama berkaitan tempat tinggal berikutan pusat pemindahan sementara itu tidak boleh diduduki sehingga enam bulan.

"Kerajaan negeri akan memikirkan bagaimana mengatasi masalah masyarakat kampung ini. Namun, kita akan memastikan bantuan lain termasuk makanan dan perubatan akan dijaga dengan baik," katanya.

Sebanyak 55 rumah setinggan di kampung itu musnah dalam kejadian kebakaran kira-kira 12.30 tengah hari semalam dan api sukar dikawal berikutan tekanan air pili bomba rendah serta rumah yang dibina terlalu rapat.

Seramai 315 penghuni daripada 74 keluarga terlibat dalam kebakaran itu dengan keseluruhan keluasan kawasan kebakaran kira-kira empat hektar.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel