Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version
 
 

Lelaki ditemukan maut dengan 14 kesan tikaman


Tarikh kemaskini: 12/01/2019





BUKIT MERTAJAM, 12 Jan (Bernama) -- Mayat seorang ejen pembekal pekerja asing ditemukan dengan 14 kesan tikaman di beberapa bahagian badan di rumah sewa didiami lelaki itu bersama sekumpulan pekerja asing di flat Taman Pulasan, Bukit Minyak, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, mangsa R. Manogaran, 55, ditemukan dalam bilik di rumah itu oleh seorang pemandu van kilang yang mencarinya kira-kira jam 2 petang.

Beliau berkata pemandu van berkenaan memberitahu polis mangsa merupakan ejen pembekal pekerja asing warga Myanmar kepada beberapa buah kilang di kaweasan Bukit Tengah dan masih bujang Serta tinggal bersama 10 pekerja di rumah flat tingkat bawah tersebut.

"Lelaki itu (pemandu van kilang) memberitahu pada pukul 10 pagi, mangsa telah menghantar pekerja-pekerja asing ke kilang dan memaklumkan mahu pulang ke rumah untuk berehat, empat jam kemudian dia menerima panggilan daripada kilang memaklumkan Manogaran tidak menghantar makanan kepada pekerja asing," katanya di sini malam ini.

Beliau berkata pihak kilang memberitahu kepada pemandu van itu yang pekerja-pekerja tidak mahu teruskan kerja jika mangsa tidak datang menghantar makanan dan dia terus bergegas ke rumah lelaki berkenaan untuk melihat keadaannya.

Nik Ros Azhan berkata rumah mangsa tidak berkunci dan lelaki itu terus masuk sebelum mendapati terdapat kesan darah di bahagian ruang tamu dan mendapati pintu bilik Manogaran berkunci.

Menurutnya, lelaki itu kemudian menyuruh seorang pekerja Myanmar yang tinggal berdekatan memanjat masuk ke bilik mangsa melalui tingkap bilik air dan mendapati mangsa berlumuran darah serta sudah tidak bernyawa.

Beliau berkata mangsa ditemui dalam keadaan terlentang dengan lengkap berpakaian serta terdapat sebilah pisau sepanjang 33 sentimeter tercacak di bahagian tengah perutnya dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 13 kesan tikaman di bahagian hadapan serta rusuk dan satu tikaman di bahagian belakang badan.

Katanya, polis turut menemui sebilah pahat sepanjang 23 sentimeter dalam bilik air dipercayai digunakan untuk menikam mangsa.

"Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, namun siasatan awal kami tidak menolak kemungkinan ia berkaitan dengan pembayaran gaji kerana mangsa dikatakan tidak membayar gaji pekerja asing seperti yang dijanjikan," katanya.

Nik Ros Azhan berkata polis sedang mengesan beberapa pekerja asing yang tinggal bersama mangsa bagi membantu siasatan kes itu yang disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Waris ganti akan ditentukan selepas perbincangan keluarga - Sultan Abdullah

 
     

Hishammuddin masih setia dengan UMNO, kata Najib

 
     

Sultan Abdullah titah kalimah Allahu Akbar dilaungkan

 
     

Memasak dan dengar muzik antara hobi Gobind

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel