Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kilang sawit kedua Benta Wawasan dijangka siap pada 2021


Tarikh kemaskini: 26/01/2019




TAWAU, 26 Jan (Bernama) -- Benta Wawasan Sdn Bhd (BWSB) menyasarkan pembinaan kilang kelapa sawit keduanya siap pada 2021 dalam usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) syarikat itu.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif BWSB Dalahan Buduk berkata ahli lembaga pengarah BWSB akan mengunjungi tapak pembinaan kilang tersebut esok yang terletak di kawasan ladang miliknya dekat sini.

"Pada masa ini kilang kelapa sawit pertama BWSB yang beroperasi pada 2014 mampu menghasilkan lebih kurang 6,000 tan metrik MSM sebulan.

"Kilang ini juga mampu menghasilkan sejumlah 1,200 tan metrik sebulan isirong sawit dan kami yakin ia mampu menghasilkan lebih banyak lagi kedua-dua bahan berkenaan.

“Kami juga dalam usaha meningkatkan kapasiti pemprosesan kilang ini daripada 45 tan metrik sejam kepada 60 tan metrik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perhimpunan korporat BWSB bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Dewan Serbaguna, Ladang Seraya dekat sini, hari ini.

Selain itu, Dalahan berkata pengeluaran tanda buah segar (FFB) BWSB bagi 2018 meningkat kepada 447,688 tan metrik yang terbukti melepasi peruntukan sasaran ditetapkan sebanyak 102 peratus.

"Walaupun tempoh November sehingga akhir Disember 2018 menyaksikan aliran harga pasaran MSM susut agak drastik sehingga mencapai RM1,717.50 (satu tan metrik), namun pelbagai langkah penjimatan telah dilaksanakan bagi meminimumkan kos pengeluaran," katanya.

Beliau turut optimis aktiviti perladangan kelapa sawit BWSB juga boleh dimanfaatkan sebagai destinasi ekopelancongan jika dirancang secara teratur serta mendapat promosi sewajarnya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Sampel air di Kuala Koh diambil lagi untuk diuji.

 
     

Tanah runtuh Tanjung Bungah: Kerajaan negeri mahu siasatan terperinci

 
     

Pemuda PH Kelantan mahu ROS batalkan pendaftaran UMNO

 
     

Inkues Adib: Empat peguam dari AGC dilantik wakili KPKT, Bomba

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel