Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

ADUN Sabah terima peruntukan kebajikan rakyat


Tarikh kemaskini: 12/02/2019





KOTA KINABALU, 12 Feb (Bernama) -- Seramai 38 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan negeri Sabah menerima peruntukan RM100,000 bagi membantu rakyat kurang berkemampuan di kawasan masing-masing menerusi program Bantuan Khas Bagi Orang Susah 2019 melibatkan jumlah keseluruhan RM3.8 juta.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Stephen Wong Tien Fatt berkata bantuan khas dianggap sebagai geran secara langsung itu digunakan untuk meringankan beban rakyat termasuk mangsa bencana atau kemalangan, kematian, pesakit kronik dan membaiki rumah rosak akibat bencana.

Beliau berkata peruntukan diluluskan Kementerian Kewangan itu akan dimasukkan terus ke akaun setiap ADUN selepas menandatangani Surat Aku Janji bagi memastikan wakil rakyat terbabit mengagihkan bantuan berkenaan tepat kepada kumpulan sasar mengikut kriteria selain mematuhi prosedur ditetapkan.

"Kita bukan senyap-senyap menggunakan peruntukan ini kerana kita mahu lebih terbuka dan telus. Peruntukan ini akan diaudit dan ada garis panduan bagaimana ia boleh digunakan. Setiap ADUN tidak boleh dengan sesuka hati menggunakannya untuk kepentingan peribadi.

"Laporan perbelanjaan perlu disediakan setiap tiga bulan untuk dihantar kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana jabatan itu juga diminta melaporkannya kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar setiap enam bulan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Aku Janji Bantuan Khas Bagi Orang Susah 2019, hari ini.

Stephen berkata setiap ADUN perlu mengagihkan bantuan berkenaan mengikut jenis dan kadar ditetapkan iaitu RM200 bagi mangsa bencana, kemalangan dan kematian, manakala RM500 bagi pesakit kronik dan rakyat memerlukan bantuan bagi membaiki kerosakan rumah akibat bencana.

Bagaimanapun, Stephen berkata, setiap wakil rakyat boleh meluluskan bantuan lain difikirkan munasabah tetapi tidak boleh melebihi kadar ditetapkan, dan pemohon bantuan mestilah berstatus warganegara Malaysia bermastautin di Sabah yang kurang berkemampuan atau ditimpa musibah.

"Satu buku rekod mendaftarkan semua permohonan dan keputusan (kelulusan permohonan) perlu disediakan supaya peruntukan ini boleh dipantau," katanya.

Peruntukan itu diharap akan dapat membantu meringankan beban serta meningkatkan ekspektasi rakyat kepada setiap ADUN di kawasan mereka selain membantu kementerian dan jabatan berkaitan menjangkau keperluan penduduk di peringkat akar umbi, katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     

Ibu berpantang harungi banjir bersama bayi berusia 15 hari

 
     

JAS Negeri Sembilan sita kilang disyaki lepaskan enap cemar minyak hitam terpakai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel