Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sarawak kini fokus pada Kejohanan Olahraga Master Asia ke-21 2019


Tarikh kemaskini: 12/02/2019




KUCHING, 12 Feb (Bernama)  -- Setelah hilang kelayakan untuk menjadi tuan rumah temasya dwitahunan Kejohanan Renang Para Dunia 2019 Julai nanti, Kuching kini mengalih fokus kepada persiapan untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Olahraga Master Asia Ke-21 (AMAC) dari 2 hingga 6 Dis 2019.

Sarawak (yang perwakilan mereka mewakili Malaysia) telah memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Olahraga Asia Masters Ke-21 dengan mengalahkan bidaan negara-negara seperti India dan Indonesia.

Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak Datuk Snowdan Lawan berkata AMAC dijangka dapat menghimpunkan kira-kira 3,500 atlet veteran dari lebih 45 negara.

Snowdan berkata kejohanan itu dianjurkan khusus untuk atlet berusia 35 tahun dan ke atas sambil menambah kejohanan-kejohanan lepas berjaya menarik penyertaan daripada atlet master yang telah berusia lebih 90 tahun dan 100 tahun.

"Amat menarik untuk melihat golongan warga emas ini berlari, menyertai acara lompat tinggi dan melempar dan melontar dalam usia lanjut," kata Snowdan pada sidang akhbar selepas perjumpaannya dengan jawatankuasa penganjur kejohanan itu di sini hari ini.

"Penyertaan untuk kejohanan ini dibuka pada Mei dan tarikh tutup ialah pada 1 Sept tahun ini dan kami menjangka atlet master dari 45 negara akan mengambil bahagian," kata beliau, yang menambah bilangan itu adalah berdasarkan catatan pada kejohanan-kejohanan yang lepas.

Beliau berkata sebanyak 1,500 acara meliputi pelbagai kategori akan dipertandingan sepanjang temasya sukan itu.

"Kami akan buat persiapan mengikut jadual yang telah ditetapkan dan kami ada banyak masa untuk membuat persiapan.

"Kami telah mula membuat persiapan untuk kejohanan ini sejak Januari tahun lepas bersama-sama dengan Persatuan Olahraga Master Malaysia (POMM) yang mengendalikan aspek teknikalnya manakala Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) mengendalikan aspek logistik,” kata beliau.

Snowdan berkata buat pertama kalinya pada Kejohanan Olahraga Master Asia, larian obor akan diadakan untuk mempopularkan kejohanan tersebut dalam kalangan rakyat Malaysia terutama rakyat negeri  Sarawak.

Selain itu, kata beliau, dua sekretariat telah diwujudkan, iaitu satu masing-masing di Kuala Lumpur dan Kuching, selain melancarkan laman sesawang pada Ogos tahun lepas.

"Kami juga telah mengeluarkan brosur promosi yang telah diedarkan semasa kejohanan Olahraga Master Dunia yang telah diadakan di Sepanyol, Kejohanan Master Asia Pasifik di Pulau Pinang dan Kejohanan Olahraga Master Dunia Ke-32 di Kuala Lumpur," tambah beliau.

Beliau berkata larian obor tersebut akan bermula di Singapura, dan beliau menambah, Singapura dipilih kerana negara itu adalah tuan rumah bagi Kejohanan Olahraga Atlet Veteran Asia pertama pada 1981.

Snowdan berkata pihak penganjur telah menghantar surat kepada Menteri Belia dan Sukan persekutuan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi memohon bantuan untuk melaksanakan acara larian obor berkenaan kerana ia melibatkan dua negara.

"Bagaimanapun, kami belum menerima jawapan daripada kementerian dan kami berharap mereka dapat memberikan jawapan dalam masa terdekat," kata Snowdan.

Snowdan berkata kabinet negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM4 juta pada tahun lepas untuk penganjurkan kejohanan ini dan beliau juga berharap kerajaan pusat akan turut memberikan sumbangan.

-- BERNAMA  

   

 
 
     
   
 

Raja Perlis mahu pendakwah saudara baharu sentiasa lengkapkan ilmu

 
     

Profesionalisme pakar patologi negara diyakini

 
     

Polis akan panggil penganjur perhimpunan anti-Lynas

 
     

Bacaan IPU di Sri Aman kekal 'sangat tidak sihat'

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel