Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Komuniti bangsa sah melalui perlembagaan Sabah berhak dilantik ketua adat - Ewon


Tarikh kemaskini: 12/02/2019





KOTA KINABALU, 12 Feb (Bernama) -- Semua komuniti bangsa di Sabah yang sah melalui perlembagaan negeri berhak dilantik sebagai ketua adat atau ketua masyarakat bagi mengurus tadbir warisan, adat, dan budaya masing-masing, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata semua pihak perlu menghargai keunikan sejarah peradaban komuniti di Sabah sebelum, semasa, dan selepas perundingan penubuhan Persekutuan Malaysia.

"Saya menganggap Ordinan Intepretasi Anak Negeri sebagai satu bentuk kontrak sosial yang istimewa dan wajar dipertahankan kerana itulah yang mentaktrifkan kewujudan masyarakat orang asal di Sabah, yang diperakukan sebagai anak negeri dalam istilah perundangan di Sabah.

"Komuniti Bumiputera anak negeri berhak sepenuhnya kepada pentadbiran adat dan budaya mereka termasuk hal ehwal berkaitan Mahkamah Anak Negeri kerana itulah mahkamah adat buat mereka sebagai orang asal," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar dikecam selepas mencadangkan masyarakat Jawa dan Bugis di negeri itu diiktiraf sebagai anak negeri.

Dalam pada itu, Ewon berkata, masyarakat Bugis dan Jawa juga berhak memiliki sistem ketua masyarakat kaum mereka tetapi bukan atas nama ketua anak negeri atau wakil ketua anak negeri, sama seperti masyarakat Cina di Sabah yang mempunyai ketua masyarakat atau kapitan.

"Saya berpendapat komuniti ini (Bugis dan Jawa) sebagai orang asal di negara jiran (tetapi) tidak termasuk sebagai anak negeri Sabah. Saya pasti perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri Sabah pada Rabu (esok)," katanya, yang turut berharap rakyat Sabah akan terus harmoni dan bekerjasama sebagai satu pasukan tanpa mengira golongan komuniti.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Jumlah pendaki Gunung Kinabalu meningkat tujuh peratus

 
     

Malaysia harus berkembang pacu usaha ke arah kelestarian masa depan - Sultan Nazrin

 
     

Polis tahan lelaki dakwa Nora Anne dirogol Orang Asli

 
     

Terima keputusan Kabinet lanjut lesen Lynas

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel