Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Feri terbakar: Bomba sahkan kebakaran bermula dari bilik enjin


Tarikh kemaskini: 28/02/2019




KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat mengesahkan kebakaran feri yang membawa 52 penumpang di perairan Langkawi, Kedah pada Isnin lepas bermula dari bilik enjin.   

Ketua Pengarah Bomba Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata perkara itu disahkan oleh pegawai forensik bomba dari Kedah dan Putrajaya yang melakukan pemeriksaan awal terhadap feri itu. 

"Sekarang pegawai forensik sedang menjalankan siasatan di kawasan enjin dan hasil siasatan dijangka siap dalam masa terdekat untuk diserah kepada Jabatan Laut Malaysia.

"Kami (bomba) memandang serius perkara ini. Sekiranya feri itu mempunyai masalah kenapa ia dibenar ambil penumpang?… bagaimanapun perkara ini di bawah bidang kuasa agensi lain," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2018 di Kompleks Kuarters JPBM Cheras di sini, hari ini.

Ditanya kemungkinan sabotaj, Mohamad Hamdan berkata: “Dakwaan ada sabotaj dan sebagainya (dalam kebakaran itu), itu bomba masih tidak ada pembuktian yang jelas namun kami tidak nafikan kemungkinannya,” 

Isnin lepas, feri penumpang Dragon Star 1 yang membawa 52 penumpang bersama seorang kapten dan lima anak kapal terbakar pukul 2.45 petang iaitu kira-kira 10 minit selepas berlepas dari Terminal Penumpang Kuah ke Jeti Kuala Perlis.

Kesemua penumpang diselamatkan oleh bot dan feri lain yang berada berdekatan feri itu.

Terdahulu, Mohammad Hamdan menyampaikan pingat dan anugerah kepada 98 pegawai bomba yang memberikan khidmat serta mempamerkan mutu kerja yang cemerlang. 

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     

Ibu berpantang harungi banjir bersama bayi berusia 15 hari

 
     

JAS Negeri Sembilan sita kilang disyaki lepaskan enap cemar minyak hitam terpakai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel