Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Nelayan Pulau Pinang mengeluh, hasil tangkapan berkurangan


Tarikh kemaskini: 28/02/2019




Oleh Norul Akma Mohd Zain

GEORGE TOWN, 28 Feb (Bernama) -- Keadaan cuaca panas yang berlarutan sejak awal tahun ini turut dirasai komuniti nelayan di kawasan Seberang Perai yang rata-ratanya mengeluh kerana hasil tangkapan mereka berkurangan.

Nelayan pantai kawasan Telok Ayer Tawar, Md Noor Saidin, 58, berkata  beliau sudah dua hari tidak turun ke laut setelah beberapa hari sebelum ini, hasil tangkapan menurun kira-kira 50 peratus dan tidak berbaloi untuk menampung kos perbelanjaannya.

“Biasanya saya bolehlah dapat sekitar RM700 hingga RM800 sehari (nilai hasil tangkapan) tetapi sejak akhir-akhir ini hanya boleh dapat di antara RM300 dan RM400 sahaja. Ini mana cukup untuk tampung kos minyak bot, bayar upah awak-awak dan sebagainya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Berikutan itu, beliau mengambil langkah untuk menunggu perubahan cuaca yang dijangkanya akan berlaku beberapa hari lagi sebelum mengambil keputusan untuk turun semula ke laut.

"Kita tak tahulah sebab-sebab lain tetapi rasanya mungkin cuaca panas ini jugalah yang telah menyebabkan hasil tangkapan seperti ikan, ketam dan udang semakin berkurangan di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, keadaan cuaca panas yang melanda sekarang ini telah memaksa nelayan pukat hanyut dari kawasan Penaga, Mansor Othman, 52, untuk mengubah waktunya turun ke laut pada sebelah malam daripada pada wakti siang sebelum imi.

Namu ini masih belum dapat meningkatkan kembali jumlah hasil tangkapannya yang turut menurun semenjak cuaca panas ini bermula.

"Memanglah tak sepanas sebelah siang kalau kita turun ke laut sebelah malam tetapi hasilnya pun tetap kurang juga,” katanya yang turun bersama-sama seorang awak-awak sekitar pukul 6.00 petang untuk memulakan aktiviti menangkap ikannya sebelah malam.

Menurutnya, hasil tangkapannya terdiri dari udang, ikan bawal putih dan juga ketam yang biasanya banyak diperolehi di kawasan perairan berdekatan Penaga, namun jumlah hidupan marin kini agak berkurangan sekarang.

"Dulu nak dapat udang setakat lima kilo ke tujuh kilo (kilogram) tiada masalah, tetapi musim panas ni nak cecah sekilo pun payah. Tunggu bulan April depan harap-harap keadaan sudah baik seperti biasa," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Unit Persatuan Nelayan Bagan Ajam, Mazlan Abdul, 49, berkata cuaca panas sememangnya memberi kesan kepada nelayan di kawasan sekitar Seberang Perai mahupun di bahagian pulau.

Menurutnya pihak persatuan itu memang telah menerima banyak rungutan dari beberapa orang nelayan berhubung perkara ini dan memandangkan keadaan cuaca bukanlah sesuatu yang boleh dikawal, mereka hanya boleh menasihatkan nelayan ini supaya  bersabar dan mendoakan keadaan akan menjadi lebih baik lagi. 

“Sekarang nelayan yang turun ke laut ini hanya bertawakal sahaja, jika ada, syukurlah… jika tiada cuba lagi hari esok,” katanya, sambil berharap kerajaan akan dapat memahami situasi yang dialami oleh para nelayan sekarang dan menyalurkan bantuan yang bersesuaian untuk mengurangkan beban mereka.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Jumlah pendaki Gunung Kinabalu meningkat tujuh peratus

 
     

Malaysia harus berkembang pacu usaha ke arah kelestarian masa depan - Sultan Nazrin

 
     

Polis tahan lelaki dakwa Nora Anne dirogol Orang Asli

 
     

Terima keputusan Kabinet lanjut lesen Lynas

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel