Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kedah saran tamat operasi syarikat feri yang terbakar


Tarikh kemaskini: 02/03/2019





ALOR SETAR, 2 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri Kedah menyarankan kepada kerajaan persekutuan agar menamatkan perkhidmatan feri penumpang Dragon Star Shipping Sdn Bhd bagi menjaga imej Kedah dan Pulau Langkawi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama Kedah Azman Nasrudin berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Kementerian Pengangkutan setelah mendapat persetujuan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) serta Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir yang bermesyuarat baru-baru ini.

Azman berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan lain bagi memastikan kejadian sama tidak berulang hingga boleh menjejaskan industri pelancongan sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA'19) yang bermula dari 26 hingga 30 Mac ini

"Dalam mesyuarat Exco baru-baru ini saya telah mendapat persetujuan daripada MMK termasuk Menteri Besar agar saranan ini dilakukan dan saya sebagai Exco bertanggungjawab telah menghubungi Kementerian Pengangkutan untuk menyatakan saranan kerajaan negeri agar membatalkan lesen dan permit mereka.

“Kita mempunyai alasan yang kukuh untuk memberi saranan demikian kerana perkhidmatan kenderaan air syarikat itu dianggap tidak memuaskan dan kita tak mahu ambil risiko kerana ia bukan pertama kali berlaku apabila pernah terkandas selama lapan jam di tengah perairan akibat enjin rosak pada 26 Oktober tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Durian 2019 di perkarangan Stadium Darul Aman di sini, hari ini.

Katanya sehingga kini kerajaan negeri masih menunggu keputusan daripada pihak kementerian itu dan percaya maklum balas mengenainya akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pengangkutan Negara di ibu negara pada 5 Mac ini.

Dalam perkembangan lain, Azman turut mengarahkan Jabatan Laut Malaysia (JLM) melakukan pemeriksaan fizikal terhadap semua feri penumpang bagi memastikan para pengusaha mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutama sebelum, semasa dan selepas LIMA.

"Kita akan minta Jabatan Laut Malaysia perketatkan sebab jumlah penumpang akan meningkat mendadak pada LIMA dan saya sudah minta pihak terbabit memastikan feri-feri yang akan beroperasi sepanjang LIMA melakukan pemeriksaan ikut SOP yang sepatutnya, jadi pelancong tak perlu risau selepas ini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan kejadian itu, Azman memberitahu pihaknya belum memperoleh sebarang maklumat berikutan JLM masih melakukan siasatan dan perkara itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Dalam kejadian kira-kira 2.45 petang Isnin lepas, 52 penumpang feri Dragon Star 1, berhadapan detik cemas selepas feri itu terbakar sebaik bertolak dari Terminal Feri Kuah, Langkawi menuju ke Kuala Perlis sebelum diselamatkan oleh bot dan feri lain yang berada berdekatan.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Jumlah pendaki Gunung Kinabalu meningkat tujuh peratus

 
     

Malaysia harus berkembang pacu usaha ke arah kelestarian masa depan - Sultan Nazrin

 
     

Polis tahan lelaki dakwa Nora Anne dirogol Orang Asli

 
     

Terima keputusan Kabinet lanjut lesen Lynas

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel