Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tabung SFT3 pencetus perubahan kepada pengusaha inap desa, kraftangan


Tarikh kemaskini: 02/03/2019





LANGKAWI, 2 Mac (Bernama) -- Tabung Khas Pelancongan SFT3 berjumlah RM500 juta merupakan pencetus perubahan untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi serta mempergiatkan lagi pertumbuhan pengusaha inap desa dan kraftangan dalam sektor pelancongan negara, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata tabung khas itu amat signifikan apabila kerajaan memberi subsidi sebanyak dua peratus daripada kadar keuntungan yang dikenakan seterusnya dapat membantu mengurangkan kos perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

"Sebanyak 4,070 orang pengusaha program inap desa dan 5,572 orang pengusaha kraftangan telah mendaftar dengan MoTAC setakat Disember tahun lalu.

"Menerusi Tabung Khas Pelancongan SFT3 berjumlah RM500 juta ini, kerajaan memberi fokus serta keutamaan kepada usahawan inap desa  dan kraftangan di negara ini untuk meluaskan dan mengembangkan perniagaan masing-masing," katanya ketika berucap melancarkan Tabung Khas Pelancongan SFT3, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC), Datuk Haslina Abdul Hamid.

Sementara itu, Aria Putera berkata SME Bank menyalurkan dana menerusi Tabung Khas Pelancongan ini sejak tahun 2002, dan meluluskan pembiayaan berjumlah RM2 bilion kepada 478 syarikat setakat Disember 2018.

"Sebagai kesinambungan usaha ini dan seperti yang telah diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2019, SFT3 yang berjumlah RM500 juta ini ditawarkan dalam bentuk pembiayaan bagi membantu usahawan mengembangkan produk atau perkhidmatan berasaskan pelancongan.

“Dari segi bayaran balik untuk SFT3 ini pula, SME Bank memberi tempoh bayaran balik maksimum sehingga 20 tahun bergantung kepada aktiviti ataupun jenis pembiayaan yang akan kami berikan kepada pengusaha PKS,” katanya.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut, Aria Putera berkata pembayaran semula oleh usahawan yang memperoleh dana dalam SFT1 dan SFT2 amat baik.

"Untuk prestasi SFT2, Alhamdulillah secara amnya prestasi pembayaran semula oleh usahawan yang menerima dana memuaskan, bagaimanapun ada juga usahawan PKS yang mendapat impak kerana pelbagai faktor ekonomi, global dan faktor dalam usahawan PKS tersebut," katanya.

Aria Putera turut berkongsi kisah kejayaan Haji Ismail Group (HIG), usahawan terkenal di Langkawi yang turut menerima manfaat Tabung Khas Pelancongan itu.

"Untuk sektor pelancongan di Langkawi kami memiliki kisah kejayaan yang agak menarik seperti pembiayaan kepada HIG, menerusi pembiayaan serta bantuan yang SME Bank berikan mereka telah berjaya menjadi satu peserta industri utama di pulau ini.

“Kejayaan seperti ini yang ini SME Bank harapkan mampu dicapai oleh peserta industri lain di Langkawi menerusi dana serta pembiayaan yang diterima,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     

Ibu berpantang harungi banjir bersama bayi berusia 15 hari

 
     

JAS Negeri Sembilan sita kilang disyaki lepaskan enap cemar minyak hitam terpakai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel