Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tipu Pekerjaan di Liberia: Dua lelaki tempatan ditahan


Tarikh kemaskini: 05/03/2019





SIBU, 5 Mac (Bernama) -- Dua lelaki tempatan ditahan di sini hari ini berhubung kes penipuan pekerjaan melibatkan lapan lelaki yang sebelum ini dilaporkan terkandas di Monrovia, Liberia.

Kedua-dua suspek berusia 53 dan 60 tahun itu masing-masing ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Sibu di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu dan di sebuah rumah di Jalan Cherry, di sini, antara pukul 9 dan 10 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata tangkapan dilakukan selepas aduan dibuat oleh seorang lelaki berusia 40 tahun yang berasal dari Kapit pada pukul 8 pagi tadi.

“Siasatan awal mendapati mangsa telah menerima mesej melalui aplikasi WeChat daripada seorang lelaki yang menawarkan kerja pembalakan di Liberia.

“Mangsa turut diyakinkan akan diberi permit pekerjaan di samping gaji lumayan berjumlah RM8,000 sebulan, makan minum dan kos pengangkutan ditanggung oleh sebuah syarikat pembalakan di negara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, mangsa dan tujuh lagi lelaki telah menerima tawaran itu dan berjumpa dengan seorang lelaki untuk urusan tiket penerbangan dan visa.

Pada 3 Jan lepas, mereka yang diiringi oleh seorang lelaki telah terbang ke Liberia sebelum dibawa ke sebuah perkampungan di Mount Barclay.

“Setelah sebulan di sana, mangsa dan rakan-rakannya mendapati kerja pembalakan yang ditawarkan tiada dan mereka terpaksa menjual barangan peribadi seperti jam tangan dan telefon bimbit untuk membeli keperluan harian,” kata Mustafa.

Kesemua mangsa telah dibawa balik dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur petang semalam sebelum tiba di Lapangan Terbang Sibu pada pukul 9.15 malam tadi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     

Ibu negara Indonesia di Kalimantan: Sarawak, Sabah terima tempias positif

 
     

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel