Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

SWcorp beri tumpuan isu lambakan sampah di Bukit Malut


Tarikh kemaskini: 13/03/2019





ALOR SETAR, 13 Mac (Bernama) -- Isu lambakan sampah terutamanya di kawasan perairan Langkawi khususnya di Bukit Malut akan diberi perhatian lebih terperinci melalui perancangan 'Pelan Tindakan Pelancongan Langkawi 2019' yang sedang dalam perbincangan.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah Zaidi Tuah berkata perkara itu telah pun dibincangkan bersama pihak Kementerian Kewangan (MOF) namun ia masih belum dimuktamadkan.

"Sekarang kita berdepan dengan kekangan kewangan sebab itu kita mohon peruntukan daripada MOF supaya dapat jalankan inisiatif membabitkan program kutipan dan kesedaran bagi memastikan masalah lambakan sampah di kawasan perairan Langkawi dapat diselesaikan.

"Kita mahu selesaikan masalah sampah di perairan Langkawi yang berkemungkinan datang dari kawasan Bukit Malut ini. Tambahan, kebersihan kawasan perairan ini perlu dijaga kerana ia menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara," katanya kepada pemberita hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah agensi media, semalam bahawa jumlah tong sampah yang tidak mencukupi di Bukit Malut, Langkawi menjadi punca kepada pembuangan sampah ke laut.

Zaidi berkata bagi mengelakkan lebih banyak longgokan sampah terhasil di kawasan, SWCorp akan menambah jumlah kekerapan kutipan sampah sebanyak enam kali seminggu berbanding tiga kali seminggu sebelum ini dalam usaha mengurangkan jumlah sampah yang terhasil.

"Sebelum ini, kita lakukan kutipan sampah tiga kali seminggu dan menyediakan tiga tong RORO (Roll On Roll Off) yang boleh memuatkan 1.5 tan sampah bagi setiap satu RORO namun bermula 17 Mac ini, SWCorp akan mulakan kutipan sampah enam hari seminggu dengan dua tong RORO.

"Selain itu, tahun lepas sahaja kita telah adakan lima gotong-royong Mega yang melibatkan agensi kerajaan, pihak swasta, badan bukan kerajaan dan penduduk setempat. Jadi, saya ingin nafikan dakwaan bahawa SWCorp lepas tangan dalam isu kutipan sampah ini," katanya.

Katanya sebaliknya masalah lambakan sampah itu berpunca daripada sikap masyarakat yang tidak membuang sampah ke dalam tong sampah disediakan. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin, Tuanku Zara berangkat ke Pertandingan Pidato Diraja 2019

 
     

Tiada lagi pencemaran di Sungai Ulu Benut

 
     

Buluh, daun rumbia hasilkan replika tempua terbesar di Malaysia

 
     

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel