Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Henti spekulasi berlaku kerajaan campuran BN-PAS di Perak - Ahmad Faizal


Tarikh kemaskini: 13/03/2019





IPOH, 13 Mac (Bernama) -- Semua pihak termasuk Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang di negeri ini diminta menghentikan spekulasi kononnya kemungkinan berlaku kerajaan campuran antara Barisan Nasional dan PAS di Perak, kata Menteri Besar Perak.

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata semua pihak seharusnya tidak berterusan bercakap mengenai perkara itu, sebaliknya memberi perhatian kepada usaha untuk membangunkan negeri dan berkhidmat kepada rakyat.

"Tolong la berhenti (cerita) politicking, sekarang ini masa kita buat kerja, fokus kepada tanggungjawab hakiki kita sekarang. Cerita ini memang seronok dimainkan di media sosial tapi tidak bawa apa-apa keuntungan kepada usaha untuk bangunkan negeri dan beri perkhidmatan kepada rakyat,”

Beliau berkata demikian kepada pemberita apabila diminta mengulas mengenai spekulasi kononnya ADUN PH akan melompat menyertai pembangkang, yang masih hangat diperkatakan.

Terdahulu, Ahmad Faizal menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman mengenai perkhidmatan bas ‘Hop On Hop Off" di Ipoh antara Tourism Perak yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zuraida Md Taib dan Ketua Pegawai Eksekutif Perak Transit Berhad Datuk Cheong Peak Sooi.

Ahmad Faizal berkata beliau mempunyai tanggungjawab dalam memberi perkhidmatan kepada semua rakyat termasuk mereka yang mengundi wakil rakyat dari pembangkang pada pilihan raya umum lalu.

"ADUN daripada PAS, UMNO ada tanggungjawab mereka setelah dipilih (sebagai wakil rakyat) dan saya (adalah) sebagai Menteri Besar Perak bukan Menteri Besar kepada Pakatan Harapan semata-mata.

"Kepada mereka yang dahulu mengundi UMNO, undi PAS, saya ada tanggungjawab untuk memberi perkhidmatan kepada mereka, saya ada tanggungjawab untuk bekerjasama juga dengan ADUN dari UMNO dan PAS asalkan mereka nak memberi perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Mengulas mengenai video tular yang memaparkan Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tambun, Jaafar Othman menghubungi pegawai Menteri Besar Perak sambil memaki hamunnya, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri sedang mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di Terminal Amanjaya yang dibangkitkan individu terbabit.

“Saya faham kemarahan beliau puncanya apa, sebelum dia marah kita telah mengambil tindakan tentang perkara itu dan kita cuba selesaikan tetapi  video itu telah ditularkan di media sosial,” katanya yang juga Ketua Bahagian Bersatu Tambun.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan akan kaji penggunaan alat permainan yang mampu asah minda kanak-kanak

 
     

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel