Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Isu PPR Taman Manggis: Audit berkala diteruskan bagi pastikan penyewa benar-benar layak


Tarikh kemaskini: 13/03/2019





GEORGE TOWN, 13 Mac (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang akan meneruskan audit berkala terhadap penyewa Program Perumahan Rakyat (PPR) di negeri itu untuk melihat sama ada mereka masih layak menghuni unit di situ atau sudah hilang kelayakan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata pihaknya perlu memastikan pemohon PPR adalah mereka yang benar-benar layak  kerana senarai menunggu bagi permohonan PPR di negeri itu meningkat setiap tahun dan kini mencecah 1,137 permohonan.   

"Itu adalah tanggungjawab kita sebagai kerajaan negeri. Penyewa mesti faham tanggungjawab kita sebagai kerajaan negeri. Kita tidak mempunyai bekalan PPR yang mencukupi di mana saya telah nyatakan Pulau Pinang adalah satu daripada kerajaan negeri yang mempunyai PPR yang terendah di seluruh Malaysia. 

"Saya perlu memberi ruang kepada mereka yang sudah lama berada dalam  senarai menunggu. Ada (pemohon) yang sudah menunggu lebih daripada 10 ke 11 tahun. Saya nasihatkan kalau ada penyewa-penyewa di sana yang sedar dan tahu mereka memang sudah hilang kelayakan sila datang bincang bagaimana boleh naik taraf status mereka," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau menasihatkan mereka yang telah hilang kelayakan menghuni unit PPR untuk mengemaskinikan status mereka supaya dapat diberi keutamaan untuk mendapatkan kategori-kategori perumahan lain yang ditawarkan oleh kerajaan negeri.

"Apabila seseorang itu hilang kelayakan untuk terus menghuni PPR, itu tidak bermaksud dia tidak layak kepada kategori-kategori perumahan yang lain, seperti rumah kos rendah, kos sederhana rendah atau rumah mampu milik," katanya.

Dalam pada itu, Jagdeep berkata isu lima keluarga yang mengadakan bantahan di Komtar susulan 22 penyewa unit PPR Taman Manggis, di sini diarah mengosongkan unit kediaman itu telah selesai apabila mereka bersetuju menerima tawaran kerajaan negeri.

Beliau berkata dua daripada keluarga itu bersetuju menerima tawaran rumah kos rendah berharga RM42,000 melalui skim sewa beli untuk tempoh 20 tahun manakala satu  lagi keluarga bersetuju membeli sebuah rumah kos sederhana rendah berharga RM72,500 di daerah Timur Laut.

"Empat daripada mereka (keluarga penyewa terlibat) sudah keluar secara sukarela, tiga lagi dalam pertimbangan kerana mereka memohon unit-unit perumahan lain dan sebuah keluarga tidak ditawarkan kerana didapati sublet (menyewakan semula unit yang disewakan kepada orang lain). Manakala selebihnya akan dipertimbangkan untuk diberi keutamaan bagi projek perumahan yang lain,” katanya.

Isu itu bermula apabila 22 buah keluarga di perumahan itu diarah mengosongkan unit sewaan mereka 6 Mac lepas kerana melanggar syarat penyewaan dan lima daripada kumpulan keluarga yang terlibat bertindak mengadakan bantahan di pusat pentadbiran kerajaan negeri itu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel