Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Cuaca panas, tiupan angin punca gelombang kedua pencemaran sisa toksik


Tarikh kemaskini: 13/03/2019





IPOH, 13 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) percaya insiden gelombang kedua pencemaran sisa toksik yang berlaku di Johor Bahru adalah disebabkan pergerakan tiupan angin selain cuaca panas di kawasan berkenaan, kata Ketua Pengarahnya Datuk Mohammad Hamdan Wahid.

Beliau berkata bagaimanapun, pihaknya telah mengenal pasti bahawa sistem pengudaraan di sekitar kawasan tersebut kembali pulih selepas pemantauan bacaan gas kimia di Sungai Kim Kim yang tercemar itu berada pada tahap selamat.

"Saya difahamkan tindakan untuk membersihkan sungai tersebut daripada sisa toksik memerlukan kos yang sangat tinggi kerana ia merupakan kerjasama bersepadu antara agensi kerajaan dan syarikat swasta yang mempunyai kepakaran membersihkan sungai itu secara keseluruhannya.

"Oleh itu, kerja-kerja pembersihan di sungai tersebut perlu dilakukan segera bagi mengelakkan lebih ramai lagi menjadi mangsa pencemaran sisa toksik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 melibatkan 146 pegawai dan anggota JBPM Negeri Perak  di sini hari ini.

Pada Khamis lepas, seramai 1,400 pelajar sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Puteh diarah mengosongkan kawasan sekolah apabila beberapa pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan selepas terhidu gas dipercayai daripada bahan kimia yang dibuang ke dalam sungai berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata punca kebakaran sebuah pusat hiburan di Jalan Raja Dr Nazrin Shah, di sini pada 20 Feb lepas akan diketahui tidak lama lagi.

Katanya siasatan yang dilakukan oleh pasukan forensik telah menemui beberapa bukti mengenai punca sebenar berlakunya kebakaran itu yang telah meragut enam nyawa.

"Saya percaya hasilnya akan dikeluarkan tidak lama lagi kerana indikatornya sudah ada, sudah ada bukti-bukti tertentu tetapi kita 'zoom in' untuk memastikan punca sebenar berlakunya kebakaran," katanya.

Dalam kejadian itu, enam termasuk tiga warga asing maut dalam kebakaran di tingkat empat sebuah bangunan di sini yang berlaku kira-kira pukul 5.40 pagi.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     

Lexis Hibiscus Port Dickson dinamakan tempat perkahwinan terkemuka di dunia

 
     

Ibu berpantang harungi banjir bersama bayi berusia 15 hari

 
     

JAS Negeri Sembilan sita kilang disyaki lepaskan enap cemar minyak hitam terpakai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel