Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Remaja tak sangka ibubapa mengedar dadah


Tarikh kemaskini: 13/03/2019





BALIK PULAU,13 Mac (Bernama) -- Seorang remaja 13 tahun di sini tidak menyangka kedua ibu bapanya terlibat dalam pengedaran, sehinggalah mereka diserbu polis sewaktu kereta yang mereka naiki berhenti di tepi jalan di Teluk Kumbar di sini Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A Anbalagan hari ini berkata remaja itu berada bersama-sama ibu bapanya dan dua orang lagi lelaki di dalam kereta itu, ketika polis menahan mereka kira-kira pukul 3.30 petang.

“Semasa pemeriksaan polis dibuat, sebuah beg hitam mengandungi 17 peket plastik lutsinar berisi heroin seberat 214.5 gram dan empat peket plastik mengandungi 100.7 gram syabu ditemui di dalam kereta itu,” katanya di sini.

Menurutnya siasatan mendapati remaja berkenaan yang didapati negatif ujian saringan dadah langsung tidak mengetahui kegiatan ibu bapanya dan mengatakan dia telah diajak untuk keluar makan.

“Polis percaya ibu bapa dan dua lelaki berkenaan berhenti di tepi jalan berkenaan menunggu penagih yang datang membeli dadah berkenaan,” katanya sambil menambah remaja yang masih bersekolah itu kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sementara itu, Anbalagan berkata bapa remaja itu yang berumur 42 tahun dipercayai mengetuai satu sindiket pengedaran dadah, sementara bekas isterinya yang berumur 33 tahun dan diceraikannya dua tahun lepas merupakan salah seorang anggota sindiket itu.

Dua orang lelaki yang turut ditahan, masing-masingnya berumur 37 dan 45 tahun, turut menjadi anggota sindiket itu dan didapati baharu dibebaskan dari penjara selepas menjalani hukuman kerana kesalahan dadah.

Susulan penahanan itu, polis telah menyerbu sebuah rumah di Kampung Jawa di Perai pada hari yang sama dan menemui 450 gram heroin dan 306.6 gram syabu. Keseluruhan dadah yang dirampas dalam dua serbuan itu dianggarkan bernilai RM87,600.

Keempat-empat suspek ini sedang menjalani perintah reman selama enam hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Nazrin, Tuanku Zara berangkat ke Pertandingan Pidato Diraja 2019

 
     

Tiada lagi pencemaran di Sungai Ulu Benut

 
     

Buluh, daun rumbia hasilkan replika tempua terbesar di Malaysia

 
     

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel