Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penduduk Tanah Wakaf Abdul Cauder didakwa cederakan anggota polis


Tarikh kemaskini: 14/03/2019





BUTTERWORTH, 14 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki yang merupakan penduduk di Tanah Wakaf Abdul Cauder mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis, minggu lepas.

Syazwan Sulaiman, 30, yang juga sub kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Lans Koperal Muhammad Aliff A. Rahman dengan menghalangnya melaksanakan kewajipan sebagai penjawat awam di hadapan rumah No 3104 Jalan Mengkuang, di sini pada pukul 1.10 petang, 7 Mac lepas.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Polis ASP Siti Zaleha Hamzah menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam, Ahmad Faris Khairudin dan Ku Abdul Rahman Ku Ismail, merayu jaminan yang rendah dengan alasan tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap selain wang simpanan banyak digunakan untuk urusan pindah rumah baharu.

Majistret Che Rohana Ismail kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 April ini untuk sebutan semula kes.

Mengikut fakta kes, tertuduh adalah di antara 11 orang penduduk di Tanah Wakaf Abdul Cauder, di sini yang ditahan 8 Mac lepas setelah mereka bertindak agresif cuba menghalang pasukan petugas Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menjalankan operasi meroboh kediaman di kawasan itu.

Dalam kejadian itu, seorang anggota polis yang mengiringi pasukan petugas MAINPP itu mengalami kecederaan di bahagian lutut kiri setelah dilaporkan diserang oleh kumpulan penduduk berkenaan. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     

Sultan Nazrin rasmi klinik kesihatan Simpang

 
     

Dua warga emas lari lebih 500km sempena Hari Kebangsaan ke-62

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel