Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Cadangan 77 rumah sementara di Kampung Perpaduan Pulau Banggi


Tarikh kemaskini: 15/03/2019





KUDAT, 15 Mac (Bernama) -- Cadangan pembinaan rumah sementara untuk 77 keluarga yang hilang tempat tinggal akibat kebakaran di Kampung Perpaduan Pulau Banggi, dekat sini, telah dikemukakan kepada Jabatan Ketua Menteri.

Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Mohamad Mohamarin berkata, ia membabitkan kos berjumlah RM1 juta dan telah mendapat maklum balas daripada jabatan itu untuk kelulusan.

Katanya, permohonan itu dibuat oleh Pejabat Daerah Kecil Banggi dalam usaha memastikan keluarga mangsa kebakaran dapat tinggal di kediaman yang selesa.

"Kita berharap kelulusan peruntukan pembinaan rumah sementara itu dapat diperolehi dengan segera,”katanya ketika ditemui pemberita selepas mengiringi lawatan menterinya, Datuk Dr Yusof Yacob di kawasan kebakaran Kampung Perpaduan hari ini.

Mohammad, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, berkata, selepas kejadian itu, ada antara keluarga masih tinggal di pusat penempatan sementara di Pentas Terbuka Karakit,

Dalam kebakaran pada 13 Jan lepas, 81 buah rumah di perkampungan atas air itu musnah dengan menyebabkan 303 mangsa daripada 77 keluarga hilang tempat tinggal.

Mengenai tapak cadangan pembinaan rumah sementara itu, Mohamad berkata, terdapat dua tapak yang dicadangkan iaitu tapak asal dan di tapak tanah berhampiran.

Katanya, tapak asal kawasan penempatan kampung itu terletak dalam kawasan Tanah Simpan Jabatan Perhutanan Sabah.

Beliau berkata pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perhutanan Sabah untuk mengeluarkan status pewartaan tanah itu kepada perkampungan.

Katanya, jika diluluskan, permohonan itu kemudian akan dibawa kepada Pejabat Hasil Bumi sebelum dikemukakan pada Kabinet negeri.    

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     

Jerebu: penduduk Melaka hadkan aktiviti luar

 
     

Tetap adakan upacara pengebumian untuk kedua ibu bapa - Anak

 
     

Jerebu boleh sebabkan radang mata, lelah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel