Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MFL tamat kontrak TM sebagai penaja utama Liga-M


Tarikh kemaskini: 15/03/2019





JOHOR BAHRU, 15 Mac (Bernama) -- Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) berkuat kuasa serta-merta   selepas  penaja utama Liga Malaysia (Liga-M) itu gagal menjelaskan pembayaran hak penyiaran musim ini.

Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata keputusan tersebut diambil selepas perbincangan untuk meneruskan perjanjian kerjasama penajaan dengan TM tidak berjalan lancar.

Justeru, baginda meminta Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam untuk mengadakan perbincangan rasmi dengan pihak yang berminat menjadi penaja baharu Liga-M musim ini,

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang disampaikan oleh Kevin selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL menerusi persidangan video di sini hari ini.

“Sebelum ini kita mendapat pertanyaan secara tidak rasmi apabila ada pihak mendengar khabar angin bahawa TM tidak mahu meneruskan tajaan Liga-M, namun kita sentiasa menghormati kontrak bersama TM.

“Seperti kita pernah umumkan dahulu, kita sentiasa menjadi rakan kongsi yang baik kepada TM dan mahu memberi mereka masa untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi,” katanya.

Selain itu, katanya, MFL sudah banyak kali berusaha mengadakan perbincangan dengan pihak TM tetapi langkah itu menemui jalan buntu.

Oleh itu, katanya, MFL tidak boleh terus menunggu kerana mempunyai tanggungjawab untuk menguruskan Liga-M.

TM sebelum ini menandatangani kontrak perjanjian selama lapan tahun pada Januari tahun lepas dengan jumlah keseluruhan yang difahamkan sekitar RM480 juta.

Pada masa sama, Tunku Ismail meminta semua pihak khususnya pemegang taruh MFL yang terdiri daripada 24 pasukan Liga-M tidak bimbang di sebalik penamatan kontrak penajaan tersebut.

“MFL sentiasa mengorak langkah untuk menjaga kepentingan pasukan dengan mencari jalan mengukuhkan kewangan pasukan bertanding dalam Liga-M,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel