Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Projek Smart WTE pertama di Malaysia dijangka beroperasi Jun - Zuraida


Tarikh kemaskini: 16/03/2019





PORT DICKSON, 16 Mac (Bernama) -- Loji pemprosesan dan pemulihan sisa pepejal, Solid Waste Modular Advanced Recovery and Treatment (Smart) sisa kepada tenaga (WTE) pertama di Malaysia yang dibina Cypark Resources Bhd, dijangka memulakan operasinya Jun ini. 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata pembinaan loji berkenaan mengikut standard yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar.

“Saya berpuas hati melihat status kemajuan di loji ini dengan cara pembinaan dan pelannya yang mengikut standard Jabatan Alam Sekitar.  Sama seperti yang saya dilihat di negara- negara lain yang saya pernah lawati.

"Namun terdapat beberapa perkara yang perlu dikemaskan lagi termasuk keadaan jalan. Jadi saya akan berunding dengan pihak Cypark dan Exco Kerajaan Negeri Sembilan untuk melihat proses yang harus diteliti balik untuk dipercepatkan bagi memastikan ia boleh beroperasi pada Jun nanti," katanya.

Zuraida ditemui pemberita selepas melawat tapak loji berkenaan di sini hari ini. 

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong dan Ketua Pegawai Eksekutif Cypark Resources Bhd Datuk Daud Ahmad.

Kemudahan Smart WTE dijangka dapat menerima kapasiti 1,000 tan metrik sisa pepejal setiap hari dan berupaya menghasilkan 20 Megawatt (MW) hingga 25MW tenaga hijau yang mencukupi untuk menjana kuasa kepada 25,000 isi rumah di sekitar loji itu.

Ia mula dibina pada 2016 di atas tanah seluas 70 hektar di Ladang Tanah Merah di sini dan melibatkan kos sebanyak RM300 juta. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel