Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KKM peruntuk RM1.190 juta bagi projek bina, sambungan hospital dan klinik di N.Sembilan - Lee


Tarikh kemaskini: 21/03/2019





REMBAU, 21 Mac (Bernama) -- Negeri Sembilan melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKNNS) telah diperuntukkan sejumlah RM1.190 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11), Rolling Plan ke-3 bagi projek-projek pembinaan dan sambungan hospital dan klinik di negeri ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Lee Boon Chye berkata daripada jumlah itu, RM660 juta adalah bagi projek sambungan manakala baki RM530 juta adalah bagi projek baharu.

Katanya, antara projek-projek dalam pelaksanaan ialah pembinaan Hospital Rembau yang kini 99 peratus siap, Klinik Kesihatan Jenis 3, Nilai (94 peratus), Klinik Kesihatan Jenis 5 di Lenggeng (31 peratus), Klinik Kesihatan Jenis 3 di Palong 7 dan 8, Jempol (sembilan peratus) dan Klinik Kesihatan Jenis 4 dengan kaunter di Rompin, Jempol, dalam proses tender.

“Dua lagi projek yang akan dilaksanakan ialah pembinaan blok pakar Hospital Port Dickson dan pembinaan blok tambahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Pejabat Kesihatan Daerah Rembau.

Turut hadir,  Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan Alam Sekitar Komunikasi dan Kepenggunaan Negeri S. Veerapan dan Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Zainudin Mohd Ali.

Lee berkata sekiranya tidak berlaku kelewatan oleh kontraktor, Hospital Rembau dijangka dapat memulakan operasinya pada tahun ini.

JKNNS menurut Lee juga telah mencadangkan kepada KKM pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 2 di Bandar Baru Sendayan atas tanah seluas 2.02 hektar bagi menggantikan Klinik Kesihatan Sendayan  yang tidak lagi mampu menampung peningkatan jumlah pesakit.

Klinik Kesihatan Sendayan yang berkeluasan 0.81 hektar dibina pada tahun 1974.

“Kita akan teliti tapak tersebut dan saya akan lawat Klinik Kesihatan Sendayan. 

“KKM terus komited untuk mempertingkatkan kemudahan kesihatan untuk rakyat di Malaysia pada amnya dan Negeri Sembilan khususnya,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Lee berkata seramai 410 perokok telah mendapatkan perkhidmatan bimbingan berhenti merokok (mQuit) yang disediakan oleh KKM setakat tiga bulan tahun ini.

“Ini satu trend yang baik dan kita berharap lebih ramai perokok yang berusaha berhenti merokok," katanya.

Katanya seramai 12,400 perokok berjaya berhenti merokok menerusi kemudahan itu yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan bagi tempoh lima tahun ini.

Perkhidmatan itu disediakan di 731 klinik kesihatan dan 46 hospital kerajaan di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel