Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MPKK perlu jalin hubungan baik dengan semua jabatan dan agensi kerajaan


Tarikh kemaskini: 21/03/2019





SEREMBAN, 21 Mac (Bernama) -- Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) perlu menjalinkan hubungan baik dengan semua jabatan dan agensi kerajaan serta masyarakat agar segala program yang dirancang dapat berjalan dengan baik dan lancar.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata hubungan baik ini merangkumi semua peringkat kerana MPKK adalah jentera akar umbi yang sangat penting bagi kerajaan yang ada pada hari ini.

"Sebagai MPKK, kita perlu membina, menjalin dan mengekalkan hubungan yang baik dengan masyarakat terutama dengan pemimpin setempat seperti anggota parlimen, anggota dewan undangan negeri (DUN), penghulu, imam dan pegawai kerajaan yang berkaitan. Ini penting supaya kita dapat bekerja dan berkhidmat sebagai satu pasukan yang kuat dalam membangunkan dan memajukan masyarakat.

Seperti wakil rakyat, MPKK juga seharusnya peka dan sensitif dengan hasrat kita sebagai pemerintah dan hasrat masyarakat. Anda sedikit sebanyak menyumbang kepada baik dan buruk pembentukan imej Kerajaan Pakatan Harapan (PH)," katanya pada Majlis Interaksi Pemimpin Bersama MPKK Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Speaker DUN Datuk Zulkefly Mohamad Omar dan Pengarah Institut Kemajuan Desa (INFRA) Datuk Rubiyah Abd. Rahman.

Aminuddin berkata pengerusi dan setiausaha MPKK, mereka juga adalah pemimpin dan sebagai pemimpin, mereka adalah 'pemandu' yang akan memandu masyarakat.

Dengan itu, katanya mereka perlu mengambil masa untuk mengenal pasti sumber kekuatan dan peluang yang ada dalam masyarakat setempat.

"Lihat juga apakah kelemahan dan ancaman yang ada. Bincang dan rancang, seterusnya tentukan hala tuju atau projek pembangunan yang sesuai dengan keadaan dan masyarakat setempat. Sebagai MPKK, anda mewakili Kerajaan PH dalam menyampaikan dan melaksanakan dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

"Dalam masa yang sama MPKK perlu mengambil berat tentang permasalahaan yang berlaku dalam masyarakat setempat, memberi khidmat, menolong dan membantu mereka menyelesaikan permasalahaan yang timbul," katanya.

Kursus induksi ini adalah kursus wajib kepada semua MPKK seluruh negara bertujuan untuk memberi pendedahan, pengetahuan serta pemahaman kepada MPKK berkaitan peranan dan tanggungjawab dalam mengurus desa dan masyarakat.

Modul kursus dua hari itu yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi INFRA meliputi peranan dan tanggungjawab MPKK, sistem profil kampung, penyediaan pelan tindakan pembangunan dan kemajuan kampung serta pengurusan kewangan MPKK.

Pengetahuan mengenai perkara tersebut bertujuan memberi kemahiran kepada MPKK untuk membimbing dan mentadbir urus kampung masing-masing.

Pada majlis itu,  579 orang pengerusi dan setiausaha MPKK negeri ini turut melafazkan Ikrar Bebas Rasuah.

-- BERNAMA         


 

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel