Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Fit Malaysia peringkat Selangor rekod 10,000 penyertaan


Tarikh kemaskini: 24/03/2019





SHAH ALAM, 24 Mac (Bernama) -- Lebih 10,000 peserta menyertai program Fit Malaysia 2019, peringkat negeri Selangor, di Dataran Kemerdekaan, di sini.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata penyertaan itu membuktikan rakyat Malaysia berminat dengan program berkaitan kesukanan serta menjiwai Malaysia sebagai negara yang bersukan.

"Kehadiran peserta Fit Malaysia adalah signal yang jelas akan komitmen mereka dalam menjalani gaya hidup sihat dan aktif," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program itu hari ini yang turut diadakan acara larian, berbasikal, futsal dan aktiviti kecergasan seperti zumba.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Mohd Khairuddin Othman.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata program yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu dikendalikan sepenuhnya agensi di bawah kementerian tersebut tanpa membabitkan kontraktor luar.

"Ini kali pertama kita gunakan sepenuhnya agensi KBS untuk menguruskan semuanya, dan kita tidak pakai kontraktor-kontraktor luar atau 'private consultant'.

"Kita bagi pengiktirafan untuk penjawat awam khususnya pegawai belia dan sukan skim S, di mana dengan cara ini kita melatih mereka menganjurkan program besar. Kos juga dapat jimat jika sebelum ini (kos) RM1.1 juta ke RM1.3 juta tetapi apabila guna tenaga 'in house' kosnya hanya RM300,000 sahaja," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai sama ada jaguh perseorangan badminton negara Datuk Lee Chong Wei akan beraksi pada saingan Piala Sudirman, Mei ini, Syed Saddiq berkata keputusan tersebut terletak pada tangan Chong Wei.

“Ini masanya untuk kita beri ruang kepada Datuk Lee Chong Wei, sekiranya orang lain di tempatnya mungkin sudah berhenti (bermain badminton), tetapi dia seorang 'fighter' (pejuang).

"Walau apa pun tindakan yang dia ambil, KBS akan berikan sokongan penuh dan padu kepadanya," katanya.

Chong Wei sebelum ini menarik diri daripada Terbuka Malaysia yang bermula 2 April depan atas nasihat doktor berikutan rawatan kanser hidung.

Dalam saringan Piala Sudirman, menyaksikan Malaysia diundi bersama China dan India.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Henry Golding tersenarai dalam Time 100 Next

 
     

Produk plastik satu daripada industri paling rancak di Malaysia - Dr Ong

 
     

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel