Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Agama, bangsa bukan alat sebar konflik, perpecahan


Tarikh kemaskini: 24/03/2019





TAWAU, 24 Mac (Bernama) -- Agama dan bangsa tidak patut dijadikan alat untuk menyebar konflik atau perpecahan, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mengingatkan perkara itu, Mohd Shafie berkata elemen itu sepatutnya menjadi teras untuk memupuk keteladanan  serta nasionalisme dan Sabah adalah contoh terbaik perpaduan bagi hidup bermasyarakat yang pelbagai anutan dan bangsa.

"(Di Sabah) kita berjaya menjaga keharmonian, tidak ada kacau bilau, perpecahan, perbalahan, malahan kita (rakyat) saling hormat antara satu sama lain, perkara ini perlu dikekalkan dan disebarkan bukan hanya dalam kalangan rakyat negara ini tetapi masyarakat dunia.

"Apa yang berlaku di New Zealand (insiden tembakan di masjid) harus ditentang sekeras-kerasnya oleh masyarakat antarabangsa kerana perkara seumpama itu menghancurkan keamanan serta kesejahteraan masyarakat dunia," katanya pada Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) 2019, di sini.

FKAT yang memasuki edisi kelapan itu dirasmikan Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dengan hampir 50,000 membanjiri perkarangan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) bagi menyaksikan persembahan tarian 28 etnik termasuk dari Indonesia dan Thailand.

Mohd Shafie dalam pada itu berkata konsep baik kehidupan masyarakat majmuk dibawah bumbung sama adalah saling mengenali dan mengelak membenci antara satu sama lain.

Menurutnya perbalahan hanya menyebabkan keharmonian tidak tercapai yang sekali gus memberi impak negatif kepada kemajuan dunia.

Mengenai FKAT, Mohd Shafie berkata festival itu bukan sahaja menjadi platform penyatuan kekayaan budaya di negeri ini malahan penyumbang kepada ekonomi pelancongan Sabah.

Dalam perkara berasingan, Shafie berjanji akan merealisasikan Tawau menjadi Terminal Makanan Negeri yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan dan jualan borong hasil pertanian.

Katanya kewujudan terminal itu mampu merancakkan industri makanan dan pertanian dengan hasil buah-buahan serta sayuran tempatan diperluaskan untuk pasaran dalam dan luar negara.

“Saya suda kenal pasti di kawasan Yayasan Sabah, kita akan tanam buah dan sayur  untuk dibekalkan kepada pasaran domestik dan luar negara,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel