Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tender bagi sistem pengurusan sisa buangan menjadi tenaga akan dibuka


Tarikh kemaskini: 24/03/2019





PETALING JAYA, 24 Mac  (Bernama) -- Kerajaan akan menawarkan tender kepada syarikat yang berminat untuk membangunkan sistem pengurusan sisa buangan menjadi tenaga (WTE) dalam usaha untuk menyediakan sistem pelupusan sisa buangan yang lebih selamat di negara ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata kerajaan pada masa ini sedang memperincikan  butiran tender itu, dan menjangkakan ia dapat disiapkan dalam tempoh tiga bulan.

"Selepas itu, kami akan  mempelawa cadangan (daripada syarikat yang berminat)," katanya kepda Bernama selepas merasmikan ‘Pharmacy Renaissance Summit’ anjuran  Malaysian Community Pharmacy Guild (MCPG) dan disokong, antara lain, oleh BP Healtcare Group, di sini hari ini.

Turut hadir pengerusi penganjur yang juga Presiden MCPG Lovy Beh.

Yeo berkata masanya sudah tiba bagi negara ini mempermodenkan sistem pengurusan sisa dan beralih daripada  tapak pelupusan yang tidak begitu  bersih kepada penyelesaian pengurusan bahan buangan yang lebih baik.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Yeo berkata insiden pencemaran kimia di Pasir Gudang perlu dijadikan pengajaran oleh semua pihak tentang bagaimana setiap sisa buangan, terutamanya sisa berjadual, perlu diuruskan dengan berhati-hati.

"Malaysia memerlukan anjakan paradigma dalam cara bagaimana kita memantau sisa berjadual dan sisa buangan klinikal kita. Rakyat Malaysia perlu lebih bertanggungjawab, dan sebagai sebuah kerajaan, bagaimana kami boleh melaksanakan penguatkuasaan yang lebih tegas," katanya.

Beliau turut memuji inisiatif ‘Green Pharmacy’, projek perintis yang dilaksanakan MCPG sejak 2017, bertujuan untuk memperkasakan peranan ahli farmasi dalam mendidik dan membantu orang ramai tentang pembuangan barangan tajam dengan cara yang betul.

Berkaitan perkara ini, Beh ketika berucap menjelaskan inisiatif itu yang dilaksanakan dengan sokongan kerajaan Pulau Pinang, dimulakan dengan 30 ahli farmasi di Pulau Pinang.

Beliau berkata seringkali didapati ramai pesakit tidak tahu bagaimana dan di mana untuk membuang barangan tajam serta ubat-ubatan yang telah tamat tempoh dengan sebahagian besar daripada mereka terus membuang ke dalam sisa buangan rumah tangga atau ke dalam longkang.

"Perbuatan seperti itu membahayakan masyarakat. Penyakit dengan mudah dapat merebak di kalangan penduduk disebabkan pelupusan bahan buangan klinikal yang tidak betul.

"Ia juga akan memberi kesan terhadap iklim dunia, seperti pemanasan global dan pencemaran. Ini akan memberi kesan kepada pola penyakit manusia di dunia,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     

Semua sekolah di Putrajaya dibuka esok

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel